Sijil, diploma bidang sains sosial banyak dipulangkan

Iklan
Gambar kecil: Mohammad Shatar Sabran

CYBERJAYA - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendedahkan kebanyakan program yang dipulangkan kepada mereka semula oleh institusi pengajian tinggi (IPT) adalah kategori sijil dan diploma dalam bidang sains sosial sepanjang penubuhannya pada 2007.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, IPT memulangkan sijil akreditasi kerana mereka sentiasa membuat rasionalisasi program yang berterusan.

Iklan
Iklan

"Antaranya konsolidasi beberapa program kepada satu atau memutuskan untuk memberi tumpuan kepada bidang tujahan.

"Disebabkan itu, program-program ini dipulangkan oleh pihak IPT,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Iklan

Bagaimanapun, Mohammad Shatar berkata, pemulangan itu tidak boleh dianggap program yang ditawarkan tidak bagus.

"Sebab sains sosial bersifat dinamik, maka kepekaan sains sosial mengambil kira senario semasa.

Iklan

"Sains sosial tahap perubahannya cepat. Kalau ia tidak peka dengan perubahan yang berlaku, maka ia tidak lagi relevan,” jelasnya.

Di sebalik pemulangan program dalam bidang sains sosial yang banyak, Mohammad Shatar berkata, terdapat pengkhususannya di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda yang mendapat sambutan oleh pelajar di peringkat IPT.

Menurut beliau, tiga pengkhususan dalam sains sosial yang mendapat sambutan pelajar di peringkat IPT adalah perakaunan dan percukaian, sains komputer, pengurusan dan pentadbiran.

Tambahnya, tiga pengkhususan itu mendapat sambutan kerana ia dibuat berdasarkan tinjauan pasaran.

"IPT ini bertanya kepada industri dan majikan. Daripada tinjauan yang dibuat, kemungkinan itu perkara yang ditumpukan oleh majikan pada hari ini,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, setiap IPT digalakkan untuk memastikan kursus atau program baharu yang ditawarkan oleh mereka bertahan lama.

"Mereka perlulah membuat tinjauan pasaran dengan majikan.

"Contohnya, kalau saya mahu program pengurusan dan pentadbiran ini sah sehingga suatu jangka waktu, saya perlu mencari tinjauan pasaran majikan untuk satu Malaysia,” katanya.