Belajar bidang lain, kerja bidang lain

Iklan
Terdapat mahasiswa terpaksa mencari alternatif lain sebagai kerjaya susulan tawaran pekerjaan mengikut bidang sebenar yang diambil sewaktu menuntut di universiti kurang memberangsangkan. Gambar kecil dari kiri: Normaiza, Rabi’atul ‘Adawiyah

SHAH ALAM - Ramai siswazah institusi pengajian tinggi tempatan kini terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian susulan pasaran kerjaya yang terhad semasa penularan pandemik Covid-19.

Misalnya, ada antara mereka terpaksa memilih kerjaya sebagai guru walaupun menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Komunikasi.

Iklan
Iklan

Seorang siswazah universiti tempatan, Rabi’atul ‘Adawiyah Mohd Sabri, 25, berkata, kebanyakan lulusan bidang komunikasi menghadapi pelbagai cabaran untuk mencari pekerjaan dalam tempoh wabak.

Menurutnya, jurusan berkenaan yang mempunyai banyak saingan turut menyebabkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan menjadi lebih sukar.

Iklan

"Ada sesetengah majikan lebih suka memilih individu yang mempunyai pengalaman dalam sesuatu bidang termasuk dalam bidang media.

"Dengan faktor ini, saya memilih untuk menjadi seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah swasta,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Rabiatul ‘Adawiyah berkata, masyarakat milenium pada masa ini juga menjadi faktor bidang media semakin goyah.

ARTIKEL BERKAITAN: 85 program akademik tak laku dilupuskan

Program komunikasi massa perlu modifikasi

Katanya, kehadiran ramai individu yang menjadi wartawan segera walaupun tidak menuntut dalam bidang tersebut turut menjadi punca peluang kerjaya terbatas.

"Masyarakat sekarang lebih arif dan hebat menggunakan media sosial.

"Ini juga menyebabkan profesion ini kelihatan tidak akan bertahan lama kerana semua orang boleh menulis dan mendapatkan maklumat di hujung jari,” katanya.

Seorang lagi lepasan universiti awam, Normaiza Mohd Kharudin, 24, berkata, dia memilih peluang yang ada di depan mata sebagai seorang guru berikutan belum menerima panggilan bekerja.

Tambahnya, dia sudah lebih 10 kali memohon pekerjaan kepada syarikat media namun tiada jawapan diterimanya setakat ini.

"Saya hantar permohonan ke sebuah syarikat sebagai pereka grafik, penerbit rancangan dan wartawan tetapi masih tiada jawapan.

"Apabila ditawarkan sebagai guru ganti, saya bersetuju memandangkan tiada sebarang tawaran pekerjaan saya terima setakat ini.

"Lagipun saya berpandangan, kebanyakan majikan menangguhkan pengambilan pekerja baharu ketika ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan sejak setahun lalu,” ujarnya.