PENGENDALI Slovakia, Stefan Tarkovic menyifatkan Sepanyol seolah-olah beraksi pada perlawanan pertunjukan setelah menjaringkan gol ketiga pada pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium de La Cartuja, Sevilla awal pagi Khamis yang menyaksikan skuad La Roja itu menang 5-0.
Menurut Tarkovic, Sepanyol turut dilihat mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan tidak memberikan ruang kepada kesebelasan Slovakia untuk bergerak bebas.
Malah katanya, situasi berkenaan turut menyaksikan skuad kendaliannya seringkali melakukan kesilapan sekali gus memudahkan lagi ‘tugas’ skuad La Roja.
"Melakukan kesilapan ketika berdepan pasukan seperti Sepanyol adalah sesuatu yang agak sukar untuk diterima oleh mana-mana pasukan.
"Ketika berdepan Sepanyol, anda perlu lebih bersedia dan beraksi dengan sebaik mungkin di benteng pertahanan pasukan.
"Namun, kami tidak melakukan kesemua perkara itu dan akhirnya kami dihukum dengan kekalahan besar ini,” katanya.
Pada aksi terakhir bagi saingan peringkat Kumpulan E pada awal pagi Khamis, Sepanyol membuka jaringan pada minit ke-30, menerusi gol sendiri penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka yang tertampan bola ke gawang sendiri dan diikuti jaringan Aymeric Laporte pada masa kecederaan babak pertama.
Sepanyol kian garang pada babak kedua dan menjaringkan gol menerusi Pablo Sarabia pada minit ke-56 dan Ferran Torres (min-67) sebelum pemain Slovakia, Jurac Kucka sekali lagi menjaringkan gol sendiri apabila tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha mengeluarkan bola percubaan penyerang Sepanyol.
Kekalahan itu menyaksikan Slovakia gagal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan pada kedudukan ketiga dan menyamai pencapaian ketika beraksi pada edisi 2016 lalu.
Sementara itu, Tarkovic turut meramalkan Sepanyol sebagai antara pasukan yang berpotensi besar untuk muncul juara pada Euro 2020.
"Mereka telah menunjukkan kualiti sebenar yang dimiliki pada perlawanan ini dan bagi saya, ia memberikan gambaran bahawa Sepanyol adalah antara calon untuk menjulang trofi Euro 2020,” katanya.