KOTA BHARU - Sebanyak 500 botol air minuman probiotik Yakult disumbangkan oleh Yakult (Malaysia) Sdn Bhd kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Khamis.
Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada dalam satu kenyataan berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
"Kami ingin menzahirkan tanda terima kasih dan sokongan kami terhadap petugas barisan hadapan yang berusaha keras untuk mengekang penularan Covid-19 sejak tahun lalu.
"Kami berharap minuman probiotik kami dapat membantu menyokong sistem imun mereka dan pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah.
Menurut Hiroshi, pihaknya akan terus mendorong rakyat Malaysia agar menjaga kesihatan usus melalui pengambilan probiotik secara konsisten sejajar dengan falsafah korporat syarikat untuk menyumbang kepada kesihatan yang baik.
Beliau berkata, Yakult (M) Sdn Bhd sebelum ini turut memberi sumbangan minuman probiotik secara percuma kepada petugas barisan hadapan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Simpang Renggam dan Briged Utara.
"Selain itu, untuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pula ia melibatkan Kota Setar, Kuala Muda, Klang, Hulu Langat dan Petaling Jaya, Penjara Pokok Sena, Kedah dan Penjara Tawau di Sabah.
"Selain itu kita berikan juga kepada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan petugas perubatan hospital di seluruh negara, termasuk Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Pakar KPJ Selangor, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.
Mengulas mengenai air probiotik tersebut, Hiroshi memberitahu, Yakult berfungsi untuk meningkatkan fungsi usus manusia, di mana terletaknya sistem imun manusia.
Katanya, setiap botol Yakult mengandungi 30 bilion probiotik shirota strain yang kuat dan boleh hidup sampai ke usus.
"Manfaat kesihatan shirota strain terhadap usus telah diakui oleh Akta dan Peraturan-peraturan Makanan Malaysia.
"Minuman probiotik Yakult juga dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dihasilkan di kilang Yakult yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.