SHAH ALAM - Surat 'cinta' kanak-kanak berusia lapan tahun kepada Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat perhatian bekas Perdana Menteri itu.
Kanak-kanak bernama Safiya Zahra Mohammad Ahmad menulis surat meluahkan hasratnya bertemu Dr Mahathir di ladang kerbau milik Ahli Parlimen Langkawi itu.
Surat menggunakan tulisan tangan pada buku tulis itu dimuat naik oleh bapanya, Mohammad Ahmad di Twitter pada Rabu berjaya menarik perhatian Dr Mahathir hingga tular di laman sosial.
Dalam surat itu, Safiya Zahra menyatakan dia dan keluarga tinggal di Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi.
Safiya Zahra dikatakan pernah pergi ke ladang itu malah menggemari susu kerbau serta memuji keindahan ladang ternakan haiwan yang bertempat di pusat peranginan terbabit.
Anak kecil itu juga memberitahu, akan kembali ke ladang ternakan terbabit dan berhasrat untuk bertemu Dr Mahathir sekiranya ada kelapangan.
Bagaimanapun dalam maklum balas ciapan, Dr Mahathir yang menggelarkan dirinya sebagai atok memohon maaf kepada Safiya Zahra kerana tidak dapat memenuhi permintaan 'cucunya' berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).