MELAKA - Seorang peniaga wanita mengalami kerugian RM10,650 selepas diperdaya dengan tawaran penjualan barang kemas di laman sosial Instagram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa merupakan seorang wanita berusia 42 tahun melayari Instagram pada Ahad lepas dan tertarik dengan iklan penjualan barangan kemas yang ditawarkan dengan harga murah.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk membeli seutas rantai leher dengan harga RM1,800.
"Pada keesokan harinya mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1,850 termasuk RM50 kos penghantaran ke akaun suspek, bagaimanapun mangsa kemudiannya ditawarkan diskaun 10 peratus jika dia membuat pembelian emas melebihi RM5,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sundra berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah menambah pembelian barangan kemas iaitu tiga utas rantai leher dan tiga utas gelang tangan dengan harga RM11,150, namun hanya perlu membayar RM8,800 selepas diskaun ke dalam akaun suspek.
"Selepas pembayaran dibuat, suspek berjanji akan mengirim barangan kemas itu dalam masa terdekat, namun sehingga kini barangan kemas itu masih belum diterima mangsa dan suspek turut gagal dihubungi.
"Mangsa mengesyaki dia telah ditipu sehingga mengalami kerugian berjumlah RM10,650 lalu membuat laporan di Balai Polis Jasin di sini pada Rabu. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, hasil semakan pihak polis melalui 'Check Scammers CCID' mendapati akaun bank suspek terlibat dengan dua laporan polis, manakala nombor telefon yang digunakan suspek terlibat dengan 23 laporan polis.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan barangan kemas secara dalam talian selain membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
"Selain itu, orang ramai juga disarankan memuat turun aplikasi 'Check Scammers CCID' di Google Play store untuk mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan," katanya.