Prospek produk halal berasaskan tumbuhan

Iklan
Pasaran berasaskan tumbuhan di Asia mencatatkan nilai RM63 bilion pada tahun 2019.

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yakin trend berasaskan tumbuhan menawarkan peluang kepada jenama halal untuk berkembang maju memandangkan nilai-nilai Islam dan undang-undang syariah menetapkan produk yang diperakui halal adalah seiring dengan aspek utama pasaran pengguna vegan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, nilai-nilai Islam memiliki daya tarikan yang universal, menyebabkan banyak produk dan perkhidmatan halal turut menarik perhatian pengguna bukan Islam terutamanya ekoran kebimbangan pengguna global mengenai keselamatan makanan akibat Covid-19.

Iklan
Iklan

"Ini termasuk standard kualiti dan kebersihan, amalan mesra pengguna dan tiada kekejaman, serta sumber bahan yang beretika.

"Matrade menjangka lebih banyak syarikat diperakui halal Malaysia akan mengambil peluang daripada teknologi dan inovasi untuk menceburi segmen sedemikian sekali gus turut serta dalam trend peningkatan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas laporan pasaran mengenai sektor makanan dan minuman (F&B) berasaskan tumbuhan global dikeluarkan baru-baru ini bagi tempoh unjuran 2021-2028.

Iklan

Menurut laporan itu, penganalisis menjangka industri akan menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul pada 9.29 peratus dalam tempoh enam tahun akan datang.

Laporan itu menyatakan, Amerika Utara memegang saham terbesar dalam carta 2020. Bagaimanapun, pasaran dapat mengesan perubahan yang mendadak untuk beberapa tahun akan datang berikutan pasaran berasaskan tumbuhan di Asia Pasifik diunjurkan mengalami lonjakan 200 peratus menjelang 2025.

Iklan

Selain itu, ia memaklumkan, pasaran berasaskan tumbuhan di Asia bernilai AS$15.3 bilion (RM63 bilion) pada 2019.

Katanya, angka itu menyaksikan lonjakan yang ketara apabila Covid-19 melanda, berikutan lebih ramai penduduk di Asia beralih kepada diet berasaskan tumbuhan ekoran kebimbangan kepada keselamatan makanan.

Sehubungan itu, ia mengunjurkan nilai pasaran di rantau ini bernilai AS$17.1 bilion pada 2020, peningkatan 11.6 peratus daripada tahun sebelumnya, demikian menurut platform penyelidikan dalam talian, GMO Research.

Peningkatan permintaan ini turut diakui oleh konglomerat Malaysia dan pengeluar utama produk berasaskan kelapa, LINACO Group, ketika menyertai pameran F&B di New York dua tahun lepas.

Menurut kumpulan itu, ketika penokok diet lain didorong oleh komplikasi kesihatan, kebiasaannya, veganisme muncul sebagai pilihan gaya hidup yang mengambil kira kesihatan diri dan keseluruhan ekosistem, termasuk alam sekitar.

Selain menjadi pilihan pembeli dan pengguna halal, amalan mapan dan tawaran berasaskan tumbuhan LINACO termasuk santan dan minyak kelapa dara merupakan produk yang sering dipilih sebagai alternatif bagi pengguna vegan di pasaran lebih besar.

Ini membuktikan pelbagai peluang kepada jenama halal Malaysia, katanya.

Pasaran halal global akan berkumpul pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), bermula 9 hingga 12 September ini.

Pada tahun ini, Mihas telah direka bentuk sebagai pameran hibrid dengan keupayaan digital untuk membawa pelanggan, pelabur dan rakan dagang dari kedua-dua dunia di samping memudahkan dagangan halal bernilai tinggi.

Segmen makanan dan minuman terus menjadi kumpulan terbesar yang menyertai Mihas sebagai pempamer.

Selain produk sedia dimakan, peluang kepada jenama Malaysia turut meningkat untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan halal global dalam pelbagai bidang seperti makanan sejuk beku, bahan organik atau vegan dan bahan semulajadi, dan pembungkusan inovatif.

Mihas 2021 adalah gerbang kepada jenama yang berhasrat memulakan atau meningkatkan kehadiran mereka di pasaran halal global.

Untuk maklumat lanjut, hubungi pengarah jualan dan pemasaran, Azlina Jane Zahri menerusi azlina.jane@qube.com.my atau layari www.mihas.com.my. - Bernama