ALOR SETAR - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tirinya berusia 19 tahun yang juga orang kurang upaya (lembam) pada Februari tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin ketika pertuduhan dibacakan.
Iklan
Iklan
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit yang sudah 10 tahun berkahwin dengan ibu mangsa didakwa melakukan perbuatan itu di ruang tamu di sebuah rumah di Pendang.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376B kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.