Lebih 150 penunggang khidmat hantar makanan terlibat kemalangan

Iklan

KUALA LUMPUR - Lebih 150 kes kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal perkhidmatan penghantar makanan direkodkan dari Mac hingga Jun 2020, menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso Dr Azlan Darus berkata, pengembangan ekonomi gig dan perkhidmatan e-hailing semasa penularan wabak Covid-19 ketika ini, telah menyebabkan peningkatan kemalangan membabitkan penunggang e-hailing.

Iklan
Iklan

"Jumlahnya terus meningkat dan menjelang hujung tahun ini, semakin banyak kemalangan berlaku, maka atas faktor inilah, isu pekerjaan yang berkaitan dengan keselamatan adalah penting untuk ditangani dari aspek perlindungan dan pencegahan," katanya dalam ucaptama pada persidangan maya Vision Zero Webinar Series: Work-Related Road Safety (Keselamatan Jalan Raya Berkaitan Kerja) di sini pada Khamis.

Webinar anjuran bersama Perkeso dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif badan terlibat di bawah Vision Zero Malaysia.

Iklan

Menurut Azlan, kes kemalangan semasa ulang alik ke tempat kerja telah meningkat hampir 83 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas iaitu dari 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 pada 2019 dan jumlah kematian tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kematian industri pada tahun 2020.

Katanya, kajian sosial Perkeso menunjukkan bahawa lebih 55 peratus kemalangan pekerja berlaku dalam jarak 5km dari destinasi ke tempat kerja dan 65 peratus kemalangan dalam perjalanan melibatkan orang muda berusia di bawah 40 tahun, dengan 80 peratus daripadanya adalah lelaki.

Iklan

"Sebilangan besar kemalangan berlaku akibat keletihan dan kerana bergegas hendak ke destinasi tepat pada waktunya. Setiap tahun, lebih RM1 bilion pampasan dibayar untuk kecederaan dan kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Bagaimanapun, kesan kemalangan semakin mendalam. Melampaui aspek wang pampasan, ia mencetuskan kesan psikologi dan sosial dalam kalangan keluarga dan masyarakat di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapan alu-aluannya berkata, dalam usaha memperkukuhkan perlindungan keselamatan sosial kepada individu yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig yang berdepan penularan wabak Covid-19, Perkeso merangka tiga program bersesuaian bagi individu yang bekerja sendiri sebagai perlindungan sosial di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi negara.

Inisiatif di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 itu adalah PenjanaGig, SPS Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

"Program-program ini memberi perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada kecederaan pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti berkaitan pekerjaan," katanya. - Bernama