Peluang pekerjaan graduan semakin merosot

Iklan
Dari kiri atas: Edris, Salleh dan Muhammad Sofwan.

BANGI - Graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menerima hakikat bahawa peluang pekerjaan pada masa sekarang semakin merosot berikutan kebanyakan industri terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Pusat Kepelbagaian Pendidikan dari Fakulti Pendidikan (FPend) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salleh Amat berkata, graduan perlu pasrah berikutan penularan Covid-19 memberi kesan terhadap kegiatan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

"Kita kena terima hakikat dengan hati yang terbuka bahawa pasaran kerja di seluruh dunia sedang merundum akibat pandemik Covid-19," katanya pada Program Bicara Alumni bertajuk 'Hala Tuju Kerjaya di Musim Covid-19: Isu dan Cabaran' secara dalam talian pada Khamis.

Program bual bicara itu anjuran Sekretariat Jaringan dan Alumni, Fakulti Pendidikan (FPend) UKM dengan kerjasama Pusat Perhubungan Alumni UKM.

Iklan

Program yang dikendalikan oleh Pensyarah Pusat Kajian Inovasi Pembelajaran dan Pengajaran Fakulti Pendidikan UKM, Dr Muhammad Sofwan selaku moderator itu turut menampilkan seorang lagi panelis iaitu Pensyarah Program Kaunseling dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Malaysia di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Edris Aden.

Dalam pada itu, Salleh berkata, situasi kebolehpasaran graduan jauh berbeza sebelum keadaan pandemik.

Iklan

"Pada sebelumnya, graduan biasanya akan memilih kerja berdasarkan minat dan bidang pengajian di universiti.

"Sebenarnya tidak salah jika ada yang berfikir mencari kerjaya mengikut jurusan, tapi kita perlu mengadaptasi dengan pasaran pekerjaan yang ada terutamanya ketika musim Covid-19 ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengurangan peluang pekerjaan tersebut bagaimanapun boleh diganti dengan peluang pekerjaan dalam sektor baharu yang lebih sesuai dalam keadaan semasa.

"Masyarakat boleh menceburi sektor ekonomi lain seperti jualan dalam talian yang mampu membantu golongan yang kehilangan pekerjaan.

"Namun, ia terpulang kepada pandangan individu tersebut untuk mengadaptasikan diri dalam pasaran pekerjaan yang semakin berkurang selain boleh merendahkan ego untuk menukar kerja lain demi kelangsungan hidup," ujarnya.