TUDM hantar 20 tan bekalan makanan asas ke Labuan

Iklan
Proses memuatnaik kotak-kotak bekalan makanan ke badan pesawat.

SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar 20 tan bekalan makanan asas menggunakan pesawat A400M dari No. 22 Skuadron ke Wilayah Persekutuan Labuan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 15 Jun lalu.

Menurut kenyataan TUDM, misi bantuan dilaksanakan itu adalah usahasama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Labuan.

Iklan
Iklan

Kata kenyataan itu, bekalan keperluan makanan asas yang dihantar akan diagihkan kepada kira-kira 13,800 keluarga melibatkan lapan lokaliti yang dikenalpasti sebagai berisiko tinggi.

"Makanan asas ini termasuk beras, minyak masak, sardin tin, krimer manis, sos cili, kicap, gula, garam, biskut, tepung gandum, bihun, serbuk kopi dan teh.

Iklan

"Seawal jam 7.00 pagi tadi, anggota petugas TUDM dari Cabang Pergerakan, Pangkalan Udara Subang bersama anak kapal pesawat A400M bertungkus lumus melaksanakan proses memuatnaik kotak-kotak bekalan makanan ke dalam badan pesawat,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, proses tersebut disaksikan oleh menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Setiausaha (KSU) KPWKM, Dr Maziah Che Yusoff.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Staf MPOU, Briged Jeneral Datuk Othman Ahmad dan Pegawai Laksana PU Subang, Kolonel Mohammad Jafri Suboh.

"Pesawat yang melaksanakan misi penghantaran diterbangkan oleh Mejar In'Amul Hasan Shuhaimy bersama juruterbang, Kapten Syahmi Nazri dan Kapten Wan Ubaidullah Wan Hanapi.

Pesawat terbang dari Pangkalan Udara Subang pada jam 9.00 pagi dan selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan jam 11.30 pagi.

Tambah TUDM, penerbangan itu merupakan kali ke-keempat melibatkan penghantaran bantuan bekalan makanan ke Labuan semenjak pelaksanaan PKPD.

"Turut dibawa bagi penerbangan kali ini ialah peralatan perubatan Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Perubatan Penerbangan (IPP) serta barangan peralatan bagi Hospital Medan ATM, menurut kenyataan itu lagi.