STOCKHOLM - Varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India dijangka menyumbang jumlah terbesar kes jangkitan Covid-19 di Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Amaran itu dikeluarkan Pusat Eropah untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (ECDC) pada Rabu susulan ancaman virus bermutasi tersebut yang semakin membimbangkan.
"Kemungkinan besar varian Delta akan menular secara meluas menjelang musim panas terutamanya dalam kalangan golongan muda yang belum divaksin. Varian itu lebih mudah menular berbanding virus bermutasi lain.
"Kami menganggarkan ia akan menyumbang sebanyak 90 peratus kes jangkitan baharu di EU pada akhir Ogos depan,” kata Pengarah ECDC, Andrea Ammon.
Agensi itu juga menjangkakan sebanyak 70 peratus kes jangkitan melibatkan varian Delta akan direkodkan di EU dan Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) pada awal Ogos depan.
"Tahap kecepatan program vaksinasi adalah sangat penting bagi membendung penularan varian itu dan mengurangkan impaknya kepada kesihatan,” ujar Ammon.
Sehingga kini, kira-kira 30 peratus daripada individu berusia lebih 80 tahun dan kira-kira 40 peratus individu berumur lebih 60 tahun di blok tersebut masih belum mendapat suntikan penuh.
"Pada tahap ini, adalah sangat penting untuk memendekkan tempoh pemberian dos pertama dan kedua untuk memastikan golongan warga emas berisiko dilindungi pada kadar segera,” jelasnya lagi.
Susulan ancaman yang masih tinggi, ECDC menggesa negara EU supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk melonggarkan sekatan bagi mengelakkan lonjakan kes jangkitan wabak itu.
"Peningkatan kes jangkitan akan meningkatkan semula jumlah pesakit dirawat di hospital dan kematian yang mungkin mencatatkan tahap sama ketika musim gugur lalu jika tiada langkah berwaspada tambahan diambil,” tegasnya. - AFP
Info:
- ECDC menganggarkan varian Delta (B16172) adalah 40 peratus hingga 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding varian Alpha (B117) yang dikenal pasti di United Kingdom (UK) yang kini menjadi virus bermutasi utama yang menular di EU.
- Rusia mencatatkan 50,000 kes jangkitan baharu sejak lebih dua minggu lalu dan 90 peratus daripadanya adalah varian Delta.
- Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian Delta telah dilaporkan di 85 negara.
- Pada pertengahan bulan lalu, penularan varian Delta di UK memaksa Perdana Menteri, Boris Johnson menangguhkan rancangan untuk menarik balik sekatan penuh di England.
- Portugal menyaksikan lonjakan kes jangkitan dan lebih separuh daripada kes jangkitan baharu di Lisbon melibatkan varian Delta.