PETALING JAYA - Permintaan terhadap rokok seludup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi penyumbang berlakunya sindiket penyeludupan rokok di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan kesalahan 'contraband' itu berlaku antaranya, ketagihan perokok itu sendiri.
"Saya faham dengan keadaan PKP, mungkin ada yang hendak kurangkan perbelanjaan dengan menukar daripada membeli rokok mahal kepada yang murah.
"Kebanyakan rokok yang murah kerana ia diseludup dan tidak bayar cukai," katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan PKP di sebuah kilang plastik di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.
Hamzah berkata lagi, bagi membendung isu tersebut pihaknya memperketatkan operasi membanteras seperti Op Benteng oleh Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi-agensi lain.
Ia kerana katanya, barang yang diseludup tidak lagi boleh memasuki perairan negara.
Beliau berkata, pembolosan jenayah itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian yang banyak membabitkan kutipan cukai lebih RM2 bilion.
"Dalam masa yang sama, anggota agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berdepan masalah penyeludupan yang agak ketara kerana penyeludup masuk melalui lorong tikus.
"Semua usaha akan diperketatkan supaya kerugian itu dapat dikurangkan dari masa ke masa," katanya.