Seorang maut, enam cedera van kilang terbabas ke dalam parit

Iklan

SEREMBAN - Seorang pekerja kilang wanita maut manakala enam lagi cedera apabila van kilang yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer 14 Jalan Labu Batu 8 di sini pada pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa S. Selvarani, 54, yang tersepit di tempat duduk belakang van berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang berada di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.01 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba Seremban 2 dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, terdapat tujuh mangsa terdiri daripada lima wanita dan dua lelaki di dalam van berkenaan. Anggota bomba kemudian membantu mengeluarkan kesemua mangsa manakala mangsa yang tersepit disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa lain menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. - Bernama