PUCHONG - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan kompaun keseluruhan bernilai RM1.2 juta ke atas pengusaha kilang dan majikan kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak kementerian itu mula diberi kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Jun lalu sehingga Khamis (24 Jun).
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, kompaun itu dikeluarkan susulan sebanyak 1,174 lawatan dilakukan pihaknya menerusi operasi pematuhan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Jelasnya, antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah melanggar had jumlah pekerja dan memalsukan dokumen kerja.
"Kementerian terima banyak aduan mengenai kes Covid-19 di tempat kerja (dan) kita memperbanyakkan operasi di sektor perkilangan di seluruh negara.
"JTK dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta agensi lain juga sedang menjalani operasi seluruh negara secara agresif dan tegas," katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 342 dan Akta 514 di salah sebuah kilang di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai kesalahan yang banyak dilakukan iaitu melanggar had jumlah pekerja dan memalsukan dokumen kerja, Saravanan berkata, ia merupakan kesalahan yang kerap dilaporkan.
"Ini dua perkara yang kita sering lihat berlaku ketika ini dan saya ingin memberi peringatan kepada semua pemain industri agar jangan mengambil kesempatan sebegini.
"Kebanyakkan kes kluster tempat kerja berlaku salah satu puncanya (kerana) tidak mematuhi SOP. Mungkin kalau budaya ini berterusan kerajaan tiada pilihan lain terpaksa tutup semula operasi," katanya.
Beliau berkata, pengusaha kilang dan majikan juga diingatkan agar tidak 'mendesak' kerajaan supaya mengambil tindakan sedemikian.
"Kerajaan memang sedar sektor ekonomi amat penting atas dasar melindungi nyawa dan mengimbangi kehidupan.
"Walaupun PKP pertama kita tidak benarkan semua sektor operasi tetapi selepas ambil kira semua faktor ekonomi, kita beri kelonggaran ini (dan) ini harus menjadi komitmen serta keihklasan daripada pihak industri supaya kita sama-sama mengikutinya," katanya.