LANGKAWI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan meneruskan cadangan mewujudkan amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi mendapatkan dana tambahan untuk kementerian tersebut, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata keputusan itu diambil setelah melakukan beberapa kajian, pembentangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet serta perbincangan bersama Kementerian Kewangan.
"Saya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan dan membentangkan kepada kabinet, kemudian diminta oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya KKM mengkaji semula. Setelah mengkaji kita mendapati dari sudut kos pinjaman itu ada instrumen lain yang lebih baik.
"Saya membuat rumusan dalam mesyuarat pasca kabinet di peringkat kementerian, tidak akan gunakan REIT dalam usaha menerbitkan atau menjana dana untuk kegiatan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan fasiliti KKM.
"Saya juga sudah ada beberapa usaha dan option yang lain untuk diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Islam Sihat Walafiat di Masjid Al Hana, di sini malam ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata KKM akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.
Menurutnya, KKM mendapat 'desakan' kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.
"Saya akan bawa perkara dalam mesyuarat pasca kabinet KKM, andainya disokong kita akan bawa ke peringkat kabinet pula. Saya percaya akan ada hujah yang menyokong serta menentang cadangan ini, KKM akan pertimbangkan semuanya secara serius," katanya.
Ketika diminta mengulas tahap penolakan suntikan vaksin imunisasi ketika ini, Dr Dzulkefly berkata keadaannya belum membimbangkan namun kadangkala ibu bapa yang menolak vaksin memberikan alasan yang tidak dibuat berdasarkan 'evidence based' atau kajian klinikal.
"Kita akan bentangkan dalam tempoh waktu yang munasabah, kita perlu ada konsultasi dan merujuk kepada pemegang taruh. Sekiranya kita mahu tangani perkara ini dengan baik dan cermat kita perlu ada sesi keterlibatan seperti sesi perjumpaan townhall," katanya. - Bernama