PELABUHAN KLANG - Seramai 51,500 orang pekerja industri pengangkutan meliputi tiga sektor perkhidmatan iaitu maritim, udara dan darat dijadualkan menerima suntikan vaksin secara berfasa bermula Jumaat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, menerusi peringkat permulaan ini, seramai 10,000 orang pelaut dan petugas pelabuhan dari sektor maritim dijadualkan menerima suntikan vaksin tersebut.
Menurut beliau, pendekatan yang dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada 18,596 orang petugas dan penyelia di Pelabuhan Wilayah Tengah yang layak menerima suntikan itu.
"Syarikat-syarikat yang terlibat dengan program pemberian vaksin ini juga akan menanggung secara bersama kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) manakala bekalan akan diberikan secara percuma oleh kerajaan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (Maritim) Pelabuhan Klang, pada Jumaat.
Hadir sama sewaktu lawatan itu adalah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemberian vaksin sektor pembinaan bermula 1 Julai
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, program pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan udara juga akan bermula pada 5 Julai depan di Bangunan Utama Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan 22,243 petugas lapangan terbang, syarikat penerbangan dan kakitangan kargo.
"Bagi sektor pengangkutan darat, PPV akan turut dibuka di beberapa lokasi seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan suntikan," katanya.
Tambah beliau, MOT dan CITF juga sedang menyelaras program vaksinasi kepada pemandu teksi, e-hailing, pemandu bas dan penghantar makanan yang dianggar seramai 355,064 seluruh negara," katanya.