MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka berjaya membawa masuk nilai pelaburan tambahan kira-kira RM31.5 juta dalam tempoh tiga bulan bermula November hingga Februari 2019.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, jumlah itu membabitkan sektor pembuatan daripada syarikat yang sedia ada dan telah bertapak di negeri ini seperti syarikat di Bukit Rambai, dengan nilai RM3.85 juta dan syarikat komponen kenderaan di Alor Gajah dengan nilai pelaburan RM22 juta.
Menurutnya, di bawah portfolio berkenaan juga telah merancang pelan strategi bagi menarik lebih ramai pelabur ke Melaka sekali gus mampu mencapai sasaran kerajaan negeri kemasukan pelaburan sebanyak RM5 bilion sepanjang tahun ini.
Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan menjadi pemangkin agensi pelaburan yang penting dengan berperanan sebagai medium pertemuan bersama syarikat-syarikat pelaburan yang berpotensi setiap minggu selain mampu meminimumkan tempoh syarikat pelaburan membuat keputusan.
"Kita akan sentiasa bincangkan strategi boleh digunapakai kerajaan negeri untuk tambah nilai pelaburan pada tahun ini dan mencapai sasaran RM5 bilion itu.
"Strategi itu termasuk PKNM akan mengadakan pertemuan secara mingguan dengan pelabur yang berpotensi melabur dan kita akan dapat lihat secara terperinci mereka yang berminat agar dapat memuktamadkan keputusan mereka melabur di Melaka secepat mungkin,” katanya.
Mohd Rafiq berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco terbabit di bangunan PKNM, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, semalam.
Katanya, jumlah itu tidak melibatkan sektor-sektor lain seperti perhotelan yang diyakini turut mencatatkan nilai pelaburan positif dalam tempoh yang sama.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rafiq yang juga ADUN Paya Rumput berkata, pihaknya turut menggalakkan golongan belia menceburi perniagaan francais yang berjenama besar dan mempunyai prospek serta potensi yang lebih besar secara tidak langsung dapat menggelakkan mereka ditipu.
Dalam pada itu, Mohd Rafiq turut menyarankan pengguna menggunakan talian bebas tol 1-800-886-800 dan aplikasi WhatsApp di talian 0192794319 bagi menyalurkan sebarang aduan berkaitan pengguna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).