Kempen pelbagai peringkat bantu hakis persepsi negatif antivaksin

Iklan
Alwi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada usahawan kecil yang terjejas dengan Covid-19.

KOTA BHARU – Penganjuran kempen secara berterusan di pelbagai peringkat berhubung vaksinasi Covid-19 akhirnya dilihat berjaya mengikis persepsi negatif melibatkan kumpulan yang menolak suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, sebelum ini wujud kumpulan kecil yang tidak mempunyai pengetahuan meluas mengenai vaksinasi tersebut dan mudah terpengaruh dengan pendapat orang lain.

Iklan
Iklan

"Dulu di Kok Lanas ini pun ada golongan ini (anti vaksin), tapi sekarang ini dia pun datang ambil vaksin juga. Alhamdulillah melalui kempen yang kita jalankan dengan kerjasama penghulu kampung dan gerakan dari Puteri dan Pemuda UMNO, kini tiada lagi kumpulan antivaksin di kawasan ini.

"Ini adalah salah satu ikhtiar kita untuk bantu ketahanan diri kita berdepan Covid-19. Kita bergerak dari rumah ke rumah untuk berkempen dan bantu mereka mendaftar.

Iklan

"Rata-rata golongan warga emas tidak tahu macam mana untuk daftar, tambahan pula tiada telefon mudah alih yang sesuai. Melalui pendaftaran kita buat, lebih 4,500 orang masih menunggu giliran suntikan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Khidmat Adun Kok Lanas di Ketereh semasa menyampaikan bantuan sumbangan kepada peniaga kecil yang terkesan akibat Covid-19.

Iklan

Mengulas lanjut, Alwi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO memberitahu, dengan adanya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Majlis Daerah Ketereh di sini, hampir 400 orang penduduk divaksin untuk sehari dan jumlahnya akan bertambah sehingga 600 orang sehari Julai ini selaras dengan penambahan vaksin ke negeri ini.

Katanya, walaupun jumlah menunggu masih tinggi, namun pihaknya tidak bercadang untuk menjadikan pejabat ADUN Kok Lanas sebagai salah satu lokasi suntikan Covid-19.

"Saya rasa biarlah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentukan lokasi yang sesuai. Insya-ALLAH Klinik Kesihatan juga akan dijadikan lokasi suntikan dan ia akan melibatkan pesakit-pesakit yang berdaftar dengan mereka.

"Kita bersedia jika KKM mahu wujudkan Program Outreach di kawasan DUN ini bagi memudahkan lagi pengurusan vaksinasi kepada penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Alwi memberitahu, seramai 250 usahawan kecil yang terdiri daripada peniaga pasar malam, kedai gunting, kedai kopi dan sebagainya menerima RM200 bagi membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 kali ini.