Gelandangan dalam tahanan polis meninggal akibat pendarahan otak

Iklan
Gambar hiasan

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan kematian seorang gelandangan ketika berada di dalam tahanan pada Rabu dipercayai akibat pendarahan otak.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisoner Abdullah Mohammad Piah berkata, perkara tersebut disahkan oleh pihak hospital hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas jenazah lelaki berusia 48 tahun itu.

Iklan
Iklan

"Laporan bedah siasat menunjukkan tiada kecedaraan luaran yang dialami mangsa. Malah, melalui siasatan awal, dia juga menghidap penyakit sawan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Abdullah bersama pegawai dan anggota meninjau penugasan dan kawalan di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) bermula Jumaat sehingga 8 Julai.

Iklan

Menurutnya, semasa berada di dalam lokap Balai Polis Kota Bharu, lelaki berkenaan telah mengalami kekejangan otot dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan.

Abdullah berkata, bagaimanapun lelaki tersebut dilaporkan meninggal dunia pada jam 7.50 malam, 23 Jun lalu.

Iklan

Katanya, lelaki berasal dari Kampung Bechah Mulong, Peringat itu ditahan polis di tepi Jalan Maju, dekat sini pada 22 Jun atas kesalahan memiliki senjata berbahaya.

"Polis menahan lelaki berkenaan selepas menerima aduan orang awam dan dilaporkan dia meracau.

"Selepas menahan dan membuat pemeriksaan badan, polis telah menemui sebilah pisau. Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Abdullah berkata, semakan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau yang telah dijatuh hukum di bawah Seksyen 6 (1) akta yang sama serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan.