PASIR GUDANG - Nasib empat beradik di Taman Scientex, di sini tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila orang kesayangan mereka iaitu datuk, nenek, bapa dan ibu meninggal dunia selang setahun berturut-turut.
Empat beradik yang berusia satu, tiga, enam dan tujuh tahun itu menjadi yatim piatu apabila ibu, Nurul Wandiana Shakira Sapuan, 29, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada jam 11 pagi Khamis.
Bapa saudara kepada empat kanak-kanak itu, Adhar Baharim, 47, dari Taman Nusa Damai, di sini berkata, Nurul Wandiana meninggal dunia akibat jangkitan kuman di dalam otak selepas dirawat di HSA sejak Selasa.
"Pada mulanya Nurul Wandiana demam, menggigil dan pengsan semasa dirawat di sebuah klinik pada Selasa sebelum dihantar ke HSI tetapi koma beberapa hari dan meninggal dunia semalam (Khamis).
"Dia yang merupakan ibu tunggal menyara hidup empat anaknya dengan berniaga secara dalam talian.
Kejadian ini menjadikan empat anak saudara saya kehilangan empat orang tersayang dalam masa singkat.
"Datuk di sebelah ibu mereka meninggal dunia pada 2018, disusuli nenek juga sebelah ibu pada 2019, kemudian bapa mereka, Mohd Jamil meninggal dunia ketika berusia 37 tahun pada 2020 dan semalam pula ibu mereka," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Taman Scientex, pada Jumaat.
Kisah mengenai empat beradik tersebut menjadi tular apabila seorang kenalan melawat jenazah Nurul Wandiana dan mengambil foto sebelum disebarkan dalam media sosial mendakwa empat beradik itu akan terbiar kerana kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia.
Adhar menafikan dakwaan netizen bahawa keempat-empat anak saudaranya akan hilang tempat bergantung dan tiada siapa akan menjaganya kerana didakwa tiada waris sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.
Dia yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru berkata, perbincangan untuk menjaga empat beradik itu sedang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga mereka.
Ibu saudara kanak-kanak tersebut, Rasidah Baharim, 55, berkata, kemungkinan keempat-empat anak saudaranya itu akan tinggal bersama-sama adiknya, Suzana Baharim, 41, di Nilai, Negeri Sembilan.
"Kami adik-beradik akan mewujudkan satu tabung untuk empat beradik ini bagi menjaga keperluan dan kebajikan mereka sehingga dewasa.
Kami tidak akan menyerahkan mereka untuk dijadikan anak angkat," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Adhar 017-740 8165 atau menyalurkan ke akaun Maybank Adhar bin Baharim bernombor 151240002324.