Raja pemerintah jamin tadbir urus negara telus, berintegriti

Iklan
Abdul Farid menyampaikan khutbah bertajuk Raja Pemerintah: Penimbang tara yang adil lagi saksama yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live pada Jumaat.

IPOH - Raja pemerintah berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman bagi menjamin tadbir urus negara yang telus, berintegriti serta bertanggungjawab.

Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak), Abdul Farid Salleh berkata, baginda wajib berada di atas politik kepartian yang tidak memihak kepada individu atau kumpulan bagi membantu meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan amalan doktrin pengasingan kuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun tidak mengurus tadbir negara secara langsung, baginda wajib disembahkan keadaan sebenar kehidupan rakyat dan situasi negara agar baginda dapat memenuhi peranan sebagai penimbang tara yang adil.

"Untuk membolehkan raja pemerintah merumus keputusan yang bijak dan betul, amat perlu untuk raja itu mengamalkan budaya syura, musyawarah, mendapat fakta yang benar, mendapatkan dan menimbangkan pendapat ulama intelek dan ilmuwan, warga tua dan warga muda, warga desa dan warga kota.

Iklan

"Pada waktu yang sama, amat penting untuk barisan yang bertanggungjawab dan diamanahkan menasihati raja pemerintah bersifat arif lagi berilmu, telus dan ikhlas, jujur dan benar, supaya raja pemerintah tidak diulit dengan mimpi palsu kerana diselindungi daripada fakta dan kenyataan hingga memungkinkan raja pemerintah tersalah titah tersalah langkah," katanya ketika membacakan teks Khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II, di sini pada Jumaat.

Khutbah Jumaat tersebut turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live Masjid Sultan Idris Shah II - Masjid Negeri Perak.

Iklan

Dalam khutbah yang dibacakan itu turut menjelaskan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dalam pengetahuan baginda.

Menurutnya, amat tidak munasabah jika institusi ketua utama negara dan raja pemerintah di negeri diwujudkan untuk menyempurnakan tugas-tugas istiadat keraian semata-mata atau perlu memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas perkara yang diangkat sembah kepada baginda.

Jelas khutbah berkenaan, ketika orang Melayu masih belum memiliki institusi politik yang tersusun, Raja-raja Melayu berperanan sebagai juru bicara, menzahirkan suara membela nasib dan kepentingan bangsa.

Khutbah itu juga mengingatkan peranan Raja Berperlembagaan dimaktubkan secara perundangan sebanyak 10 peratus atau 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang meliputi perkara-perkara berkaitan raja, mengabsahkan bahawa Raja Berperlembagaan di Malaysia bukan sekadar satu simbol, tetapi mempunyai peranan bermakna dalam urus tadbir negara.

"Sesungguhnya Islam telah menyuntik dimensi baharu kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan individu kepada pemerintahan berpaksikan syariah, menegaskan dua konsep utama iaitu, adil dan muafakat. Hubungan batiniah raja dirangkaikan dengan ALLAH dan Rasul serta kedudukan para aulia dan para anbia.

"Islam menegaskan fungsi utama raja ialah untuk menjunjung hukum ALLAH, bahawa krisis akan terjadi jika perintah ALLAH diingkari dan apabila raja memerintah dengan nafsu," katanya.

Teks Khutbah Jumaat bertajuk Raja Pemerintah: Penimbang tara yang adil lagi saksama itu turut diguna pakai oleh semua masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri ini.