Ketidaksediaan prasarana di IPT bukan alasan: Ras Adiba

Iklan
Senator Datuk Ras Adiba Radzi - Foto Bernama

PETALING JAYA - Ketidaksediaan prasarana bukan alasan untuk tidak memberikan peluang kepada pelajar orang kurang upaya (OKU) cemerlang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT), kata Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Beliau berkata, ketidaksediaan prasarana untuk kegunaan golongan istimewa itu adalah kerana kelemahan penguatkuasaan Seksyen 28 (1) dan (2) Akta OKU 2008 yang menyatakan golongan OKU tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum.

Iklan
Iklan

"Pindaan Akta OKU tersebut harus disegerakan tahun ini juga bagi menyediakan penyesuaian munasabah sesuai dengan keperluan golongan itu,” katanya kepada pemberita di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, antara penyesuaian dapat dilaksanakan contohnya prasarana, kelengkapan, bahan pengajaran serta kaedah pengajaran buat golongan itu.

Iklan

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Profesor Datuk Dr Husaini Omar berkata, penawaran program kepada golongan OKU ini adalah melalui persetujuan bersama agensi, institusi dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra OKU institusi itu sendiri.

Mengulas lanjut, Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, hal itu seperti menggambarkan kebanyakan bangunan di IPT tidak menepati piawaian digariskan dalam Seksyen 34A Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

Iklan

"Kegagalan mematuhi undang-undang sedia ada telah menyebabkan kesukaran kepada pelajar-pelajar OKU untuk mengakses bangunan dan kemudahan berkaitan pembelajaran di IPT.

"Kita kena melihat perspektif seorang OKU itu sendiri, jangan membuat sesuatu memikirkan yang kami (golongan OKU) okey (elok-elok) sahaja, kita tidak boleh buat sebegitu,” katanya selepas bertemu salah seorang pelajar OKU yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPT pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba menyokong pelajar golongan istimewa itu bagi memudahkan proses pengajian pada waktu sama membuka peluang setaraf dengan kelayakan golongan itu.

"Saya akan berjumpa dan berbincang dengan pihak universiti cara untuk menyokong bukan sahaja pelajar ini tetapi pelajar OKU lain supaya kita dapat memberi mereka peluang pendidikan sama rata.

"Mereka (pelajar OKU) juga belajar bertungkus-lumus untuk menjadi seorang cendekiawan, jadi siapa kita untuk memberitahu mereka peluang itu terhad sedangkan mereka mempunyai keupayaan lebih daripada orang lain,” katanya. - Bernama