MBI bantu carikan kerja, tempat tinggal dua beranak

Iklan
Suganthi ketika menerima kunjungan Rumaizi pada Jumaat.

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membantu mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal untuk didiami dua beranak yang kini berdepan kesempitan hidup apabila hanya mampu makan sekali sehari.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya mengambil maklum keperitan dilalui R Suganthi, 53, serta anak perempuannya, M Lalithambiga, 33 dan sedang mempertimbangkan bantuan-bantuan yang diperlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara usaha awal digerakkan termasuklah melihat kediaman bersesuaian di rumah-rumah pangsa di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Dalam masa terdekat ini kita akan usahakan tempat tinggal mengikut kesesuaian mereka di rumah-rumah pangsa milik MBI," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada keluarga terbabit di sini pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman Rumaizi.

Dalam kunjungan itu, pengurusan Pasaraya Econsave bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada ibu tunggal berkenaan.

Iklan

Shah Effendy berkata, dimaklumkan sebelum ini Suganthi pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pengalaman itu melayakkannya untuk bekerja.

"Kita sudah pun adakan perbincangan dan tawaran kerja itu telahpun dipersetujui," katanya.

Sementara itu, Suganthi melahirkan rasa gembira dan berbesar hati dengan kerpihatinan semua pihak yang membantunya mendapatkan tempat tinggal dan peluang pekerjaan.

"Saya ada masalah slip disc (tulang rawan tergelincir) jadi doktor ada nasihatkan supaya berehat dahulu selama setahun, jadi bila dah ok sikit nanti, saya memang mahu bekerja semula," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Suganthi yang kini hidup menumpang di rumah rakan mengakui pada mulanya malu untuk meminta bantuan, namun terpaksa merayu keprihatinan orang ramai selepas tidak lagi sanggup melihat anak perempuannya yang menderita sakit tulang belakang tidak makan dan minum.

Akibat kesempitan hidup dan sumber kewangan selepas hilang pekerjaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua beranak itu hanya makan bubur sehari sekali dan mengutip tumbuhan yang boleh dijadikan sayuran di tepi jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikat perut makan sehari sekali, kutip sayur tepi jalan