KUALA LUMPUR - Kerajaan disarankan tidak mengambil masa terlalu lama untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto sebelum ini.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, sebaliknya perlu ada tindakan ke arah menunaikan janji-janji itu.
"Rakyat masih memberi peluang dan masa pada PH tunaikan janji, cuma menteri Kabinet yang dilantik kenalah ambil tindakan sewajarnya untuk menunaikan janji tersebut.
"Dalam tempoh 10 bulan ini sepatutnya sudah ada kerangka atau asas tindakan untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto PH.
"Jangan lama sangat untuk mereka bertindak terutama melibatkan janji-janji pada rakyat marhaen. Lebih-lebih lagi janji melibatkan kehidupan seharian rakyat seperti tindakan kerajaan dalam menangani kos sara hidup, kenaikan harga barangan dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan jangan menetapkan tempoh yang tidak munasabah seperti 'hari ini menang esok tunai semua janji'.
"Jangan berjanji macam itu nanti rakyat naik meluat. Mereka juga boleh buat janji baharu tapi beri keutamaan dan berusahalah untuk tunai janji yang belum ditunaikan sebelum ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Berilah peluang PH tunai janji: TPM
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan PH berusaha untuk menunaikan semua janji dalam manifesto PRU14.
Katanya, adalah tidak benar untuk menuduh kerajaan PH tidak mengotakan janji.