PASIR GUDANG - Seorang remaja lelaki dan seorang pemuda ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras di sebuah longkang di Taman Cendana di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada jam 4.14 petang.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila seorang remaja lelaki bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bermain di kawasan longkang berhampiran Masjid Taman Cendana.
Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 13 tahun itu telah terjatuh dan dibawa arus deras.
"Seorang pemuda yang juga orang awam berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke longkang berkenaan, namun dia turut dibawa arus deras," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohd Sohaimi, anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat di loangkang berkenaan.
"Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu orang awam.
Pada jam 6 petang, kedua-dua mangsa iaitu seorang pemuda berusia 32 dan remaja lelaki 13 tahun ditemui lemas," katanya.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 6.50 petang.