SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bekerjasama dengan Muslim Central Malay bagi membawa program My #QuranTime ke dalam aplikasi penstriman audio.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, kerjasama yang dilakukan sejak dua minggu lalu itu membenarkan program tersebut distrim secara dalam talian di aplikasi seperti Spotify, Apple Podcast dan Google Podcast berbanding hanya bersiaran di platform media sosial seperti Facebook dan Televisyen.
Menurut beliau, segala episod yang pernah ditayangkan sebelum ini akan dimasukkan ke dalam aplikasi tersebut bagi tatapan pendengar.
"Untuk kerjasama ini, WUIF akan membekalkan isi kandungan kepada Muslim Central Malay yang berperanan menguruskan podcast tersebut.
"Selain itu kerjasama ini juga bertujuan untuk menarik lagi minat orang ramai untuk bukan sekadar membaca al-Quran malah memahami dan mendalami isi kitab ini” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Marhaini, beliau berharap dengan berkembangnya My #QuranTime dalam aplikasi penstriman audio, akan menarik lebih ramai lagi golongan untuk mendengar program tersebut.
"Sebelum ini apabila kita menyiarkan program ini di media sosial dan televisyen, rata-rata majoriti umur yang menonton adalah dalam lingkungan umur 40 tahun dan ke atas.
"Jadi saya harap kita dapat menyasarkan golongan muda yang kebanyakannya menggunakan aplikasi penstriman audio juga dapat mendengar program tersebut seterusnya dapat mendalami dan memahami isi al-Quran itu sendiri,” katanya.