'Mohd Asraf cuba bantu mangsa lemas'

Iklan
Mohd Asraf yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan seorang remaja dengan terjun ke longkang berkenaan, namun dia turut dibawa arus deras.

PASIR GUDANG - Penghantar barang, Mohd Asraf Mohd Hisham Tan, 32, yang lemas ketika menyelamatkan seorang remaja terjatuh longkang berhampiran Masjid Taman Cendana di sini pada Jumaat sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Menurut abang mangsa, Mohd Izhar, adiknya ternampak remaja itu terjatuh dan tanpa berlengah cuba menyelamatkannya.

Iklan
Iklan

"Adik saya bekerja sebagai 'runner', ketika dalam perjalanan pulang, dia ternampak seorang remaja lelaki terjatuh ke dalam longkang dan terus terjun untuk menyelamatkan remaja itu.

"Bagaimanapun air terlalu deras menyebabkan dia turut dihanyutkan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohd Izhar berkata, adiknya meninggalkan seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak berusia antara enam bulan hingga lima tahun.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang pemuda yang juga orang awam berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa dengan terjun ke longkang berkenaan namun dia turut dibawa arus deras.

Iklan

Dalam kejadian pada jam 4.14 petang itu Mohd Johan Akmal Jamil, 13, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bermain di kawasan longkang tersebut sebelum remaja itu terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Kedua-dua mangsa mereka ditemui lemas pada jam 6 petang pada jarak 50 dan 70 meter dari tempat mereka jatuh.

ARTIKEL BERKAITAN:Niat pemuda selamatkan remaja lemas bertukar tragedi