KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tidak berubah hari ini tanpa merekodkan sebarang jumlah dagangan, manakala urus niaga di Comex meningkat selepas dolar US terus lemah susulan pengumuman awal perbelanjaan infrastruktur Amerika Syarikat (AS).
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd Ong Su Ling berkata, pedagang emas global terus memantau ulasan daripada pegawai Rizab Persekutuan AS mengenai inflasi.
Iklan
Iklan
Seorang lagi penganalisis berkata pemain pasaran sedang melihat reaksi seterus susulan pendirian Rizab Persekutuan ini termasuk usaha para pegawainya yang cuba meredakan keadaan.
"Terdapat pegawai yang ingin meminimumkan kepentingan inflasi dan ada yang mempertikaikan idea kenaikan harga sebagai isu sementara semata-mata termasuk mesej yang bercanggah dari pegawai bank pusat, jadi ini mempengaruhi perdagangan logam berharga," katanya lagi.
Pada penutup, bulan semerta Jun 2021 ditambat pada RM225 segram, Julai 2021 berada pada RM230 segram, manakala Ogos 2021 dan September 2021 kekal pada RM255 segram.
Jumlah dagangan sifar manakala kepentingan terbuka adalah sebanyak lapan kontrak.
Pada 5 petang, harga emas fizikal jatuh 20 sen kepada RM230.23 daripada RM230.43 segram yang dicatatkan semalam. - Bernama