MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggugurkan acara skuasy dan karate dalam senarai akhir program Sukan Olimpik Paris 2024.
Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun berkata pihaknya tidak akan berputus asa untuk terus melobi agar sukan berkenaan dapat dipertandingkan pada temasya sukan berprestij tersebut.
"Secara peribadi, sudah tentu kita kecewa, namun jangan pernah putus asa dan teruskan usaha melobi hingga akhirnya kita mendapat sukan-sukan yang kita rasa mempunyai kekuatan di peringkat Olimpik," katanya.
Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun tuan rumah Olimpik 2024, Perancis menyenaraikan acara ‘breakdancing’ dalam senarai akhir, beliau percaya proses demokrasi dalam IOC akan mempertimbangkan skuasy dan karate dipertandingkan pada temasya sukan berkenaan.
"Sebagai tuan rumah, Perancis berhak mencadangkan ‘breakdancing’ sebagai salah satu sukan tambahan tetapi saya rasa keputusan (akhir) di peringkat IOC," katanya.
Khamis lepas, media melaporkan ‘breakdancing’ dijemput sebagai sukan baharu oleh penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 bertujuan menjadikan temasya sukan terbesar di dunia itu lebih ‘urban’ dan ‘artistik’.
Mengulas mengenai Kejohanan Badminton Kebangsaan 2019, Mohamad Norza berkata kemenangan pemain muda pada saingan berkenaan membuktikan pasukan badminton negara mempunyai ramai pemain pelapis berbakat besar.
"Kita lihat bukan sahaja pemain muda dapat menjuarai kejohanan hari ini, tetapi pada masa sama kita juga dapat menghantar pemain ke Sepanyol dan Laos.
"Maksudnya kita mempunyai kelompok pemain berbakat yang akan kita ketengahkan terutamanya dalam menghadapi pusingan kelayakan Olimpik bermula Mei ini," katanya.
Kedua-dua kejohanan di Laos dan Sepanyol bermula 19 hingga 24 Februari ini. - Bernama