JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan sulung Liga Juara-Juara Asia musim ini selepas menewaskan kelab dari Thailand Ratchaburi FC, 1-0, pada aksi di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.
Jaringan tunggal pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada separuh masa kedua perlawanan sudah cukup membantu JDT, yang sebelum ini tewas tipis 0-1 kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus Selasa lalu, untuk memperoleh tiga mata berharga dalam aksi kedua saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia musim ini.
Sebaik sahaja perlawanan bermula, Ratchaburi FC tidak menunggu lama untuk melaungkan amaran awal pada minit keempat namun percubaan dari luar kotak penalti oleh penyerang import, Junior Mpia Mapuku hanya tepat ke dalam dakapan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.
Tersentak dengan percubaan Junior, JDT yang dilihat menguasai babak pertama perlawanan terus melancarkan asakan demi asakan ke kubu Ratchaburi FC kendalian Sek-san Siripong itu.
Bagaimanapun, penyerang import JDT, Bergson Da Silva harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan deretan peluang terhidang pada babak pertama untuk meletakkan pasukan kendalian Benjamin Mora itu di depan.
Bergson berpeluang membuka tirai jaringan Harimau Selatan pada minit ke-18 tetapi rembatan kencangnya menggegar palang gol manakala sepakan penalti diambilnya pada minit ke-27 ditangkap kemas oleh penjaga gol lawan, Kampol Pathom-attakul selepas pemain dari Brazil itu dijatuhkan pemain pertahanan, Pawee Tanthatemee.
Bergson sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun percubaannya berjaya ditepis Kampol pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, JDT hanya mengambil masa seminit untuk memecah kebuntuan apabila Leandro bijak memusingkan badannya sebelum melepaskan satu rembatan cantik bagi jaringan pertama pasukannya pada saingan musim ini.
Leandro kemudian mempunyai peluang untuk menggandakan jaringan buat JDT namun percubaannya tersasar di sebelah kanan gol lawan pada minit ke-51 manakala sepakan lencong dari Safawi Rasid juga sedikit tersasar di posisi yang sama pada minit ke-68.
Ratchaburi FC yang mendominasi perlawanan pada 20 minit terakhir untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan gagal menembusi tembok pertahanan JDT manakala percubaan Safawi pada minit keempat masa kecederaan separuh masa kedua hanya terkena tiang gol kanan lawan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil.
Terdahulu, dua gol jaringan Mateus Castro dan satu lagi oleh Yoichiro Kakitani membantu Nagoya Grampus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi FC Pohang Steelers dari Korea Selatan, 3-0, dalam satu lagi aksi awal berlangsung di venue sama petang tadi.
Selepas dua perlawanan, Nagoya Grampus memungut enam mata untuk kekal mendahului Kumpulan G manakala perbezaan jaringan meletakkan JDT di tempat kedua dengan tiga mata diikuti FC Pohang Steelers di tempat ketiga juga dengan tiga mata dan Ratchaburi FC kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.