Kemenangan selepas 16 tahun

Iklan

BAITULMAQDIS - PALESTIN. Buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun, penduduk Palestin akhirnya dapat memasuki kawasan Bab al-Rahma yang terletak di dalam kompleks Masjid al-Aqsa atau Haram al-Sharif di Baitulmaqdis, kelmarin.

Ia merupakan laluan pintu masuk dan tangga menuju ke dewan masjid ketiga paling suci orang Islam yang telah ditutup oleh pihak berkuasa Israel sejak 2003.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Yayasan Agama Baitulmaqdis yang dikendalikan Jordan mengumumkan pembukaan semula pintu al-Rahma tersebut.

Pengarah yayasan itu, Sheikh Abdul Azim Salhab bertindak membuka pintu dewan itu bagi membolehkan ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat.

Iklan

Bab al-Rahma dengan pintu gerbang menggunakan nama sama terdiri daripada bangunan besar dan sebuah halaman terletak di sebelah timur al-Aqsa.

Bangunan itu ditutup pihak berkuasa Israel selepas ia didakwa kononnya digunakan oleh penduduk Palestin untuk aktiviti politik.

Iklan
Pembukaan semula Bab al-Rahma itu jelas menunjukkan kegagalan segala rancangan jahat untuk menyahudikan Baitulmaqdis.

Perintah itu diperbaharui setiap tahun sebelum mahkamah Israel mengarahkan penutupan bangunan itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan pada 2017.

Pembukaan semula pintu al-Rahma itu bagaimanapun tidak disenangi pihak berkuasa Israel.

Mereka bertindak melancarkan sekatan jalan dan membuka pusat pemeriksaan hingga membawa kepada penangkapan kira-kira 60 penduduk Palestin.

Cubaan pihak berkuasa rejim Zionis itu gagal menghalang penduduk Palestin untuk membuka pintu tersebut dan mengerjakan solat Jumaat.

Susulan perkembangan itu, gerakan Hamas mengeluarkan kenyataan menyifatkan peristiwa itu sebagai 'kemenangan terbaharu terhadap pendudukan Israel'.

Para jemaah melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Palestin untuk menzahirkan kegembiraan mereka susulan pembukaan kawasan itu.

Bekas mufti Baitulmaqdis, Sheikh Ekrima Sabri turut menyampaikan khutbah pendek dan menegaskan orang Islam tidak akan membenarkan mana-mana pihak menyekat hak mereka di seluruh kawasan al-Aqsa.

Solat Jumaat di Bab al-Rahma berlangsung secara aman selepas Tel Aviv membuat keputusan akhir kononnya enggan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah itu.

Penduduk Palestin mengibarkan bendera kebangsaan sebagai tanda gembira.

"Ia adalah perkara yang indah kerana dapat menuntut semula kawasan milik kita yang disekat selama beberapa tahun," kata anggota Majlis Wakaf Islam, Khaleel Assali.

Timbalan Ketua gerakan Fatah, Mahmoud Alloul turut memuji tindakan tidak pernah berlaku sebelum ini yang dilancarkan oleh gerakan popular di Baitulmaqdis dan menggesa penduduk Palestin meneruskan perjuangan untuk mempertahankan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu.

Sementara itu, pemimpin kanan Fatah, Mohammad Ishtieh berkata, apa yang berlaku di Baitulmaqdis jelas membuktikan kegagalan segala rancangan jahat atau cubaan untuk menyahudikan Baitulmaqdis.

Ketegangan terus meningkat selepas Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel selain memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.

Lagi penduduk Palestin maut ditembak

Sekurang-kurangnya seorang ditembak mati manakala puluhan yang lain cedera dalam protes di kawasan sempadan yang memisahkan Genting Gaza dan Israel.

Sekatan dilakukan pihak berkuasa Israel membawa kepada penangkapan kira-kira 60 penduduk Palestin.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, mangsa, Yusuf Saeed Hussein al-Daya, 15 maut akibat ditembak pada bahagian dada ketika menyertai protes mingguan Great March of Return yang telah memasuki minggu ke-48.

"Seramai 41 penunjuk perasaan yang terkena peluru hidup telah dikejarkan ke hospital berhampiran. Tiga daripada mereka dilaporkan kritikal," ujarnya.

Sejak protes itu dilancarkan pada 30 Mac lalu, lebih 260 penduduk Palestin dilaporkan terbunuh manakala lebih 26,000 cedera.

Pertempuran itu mencapai kemuncak pada 14 Mei lalu ketika sambutan ulang tahun ke-70 Hari Nakba (malapetaka).

Susulan itu, Perhimpunan Agung PBB pada Jun lalu telah menerima pakai resolusi yang ditaja Turki dan Algeria untuk mengutuk rejim Israel atas kematian penduduk Palestin dan sekatan haram Israel di Genting Gaza. - Agensi