BANGKOK- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat 230,000 pelarian disebabkan keganasan dan pertempuran di Myanmar tahun ini dan mereka sangat memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Dalam satu kenyataan, Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyatakan pelarian serta masyarakat di daerah yang terjejas sangat memerlukan bantuan termasuk makanan, tempat tinggal, akses kepada penjagaan kesihatan, air dan sanitasi serta perkhidmatan perlindungan, termasuk sokongan psikososial.
"Pertembungan bersenjata dan persekitaran keseluruhan yang tidak selamat disebabkan konflik dan keganasan, terus menghalang operasi kemanusiaan.
"Halangan semakin meningkat kerana pertambahan pusat pemeriksaan tentera di kawasan tertentu di sepanjang laluan pengangkutan utama untuk penghantaran bantuan kemanusiaan," kata agensi kemanusiaan PBB itu.
Agensi itu menyatakan dianggarkan 177,500 penduduk telah melarikan diri di bahagian tenggara Myanmar akibat keganasan dan pertempuran bersenjata sejak 1 Februari, ia termasuk 103,500 pelarian di negeri Kayah susulan pertempuran yang meningkat sejak 21 Mei.
Di Chin, lebih 20,000 orang kini berada di lebih 100 lokasi pelarian di lima bandar yang bersempadan dengan India.
Sementara di Shan, sekitar 17,730 penduduk telah melarikan diri ke sekitar 14 bandar di bahagian utara dan selatan manakala di Kachin, sejumlah 11,650 orang telah menjadi pelarian sejak pertengahan Mac.
"Di Rakhine, ribuan pelarian memerlukan bantuan kemanusiaan dan perkhidmatan perlindungan," katanya.
Tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, dengan mendakwa kemenangan partinya pada pilihan raya November 2020 adalah disebabkan oleh penipuan undi.
Rampasan kuasa itu mencetuskan tunjuk perasaan awam yang meluas di seluruh negara, dengan sekurang-kurangnya 880 telah dibunuh oleh pasukan keselamatan dan lebih 6,200 ditangkap sejak ia bermula, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP).- Bernama