SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) menyerahkan sumbangan lebih 22,000 botol air mineral dan 3,000 buku roti kepada petugas barisan hadapan di tiga buah hospital sekitar Lembah Klang pada Khamis.
Tiga hospital terlibat adalah Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Penasihat PPPMM, Muhammed Farhan Basheer berkata, pihaknya tampil memberi sumbangan berkenaan berikutan memahami kekangan petugas barisan hadapan yang kadang kala tidak sempat mengalas perut kerana komitmen tugas.
"Jadi diharapkan sumbangan kecil kami ini dapat dimanfaatkan oleh petugas barisan hadapan kerana ia mudah dimakan.
"Kami memahami bebanan tugas petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu negara mengendalikan pesakit Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Hadir sama sewaktu penyerahan itu ialah Presiden PPPMM, Rokiah Hassan dan ahli jawatankuasa lain.
Dalam pada itu, Muhammed Farhan, PPPMM turut berterima kasih kepada Pengarah HSB, Dr Kuldip Prem Singh yang meluangkan masa untuk menerima sumbangan kecil dari pihaknya itu.
PPPMM mempunyai kira-kira 70 keanggotaan terdiri daripada usahawan Melayu yang menjalankan perniagaan percetakan di seluruh negara.