KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) di bawah Mukim Ulu Kuantan mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pendaftaran Imunisasi Covid-19 Mukim Hulu Kuantan bagi menjayakan program vaksinasi dalam kalangan penduduk Sungai Lembing dan kampung sekitarnya.
Jawatankuasa seumpama itu yang julung kali diwujudkan di daerah ini berperanan membantu kerajaan dalam proses pendaftaran penerima vaksin dan mengatur program vaksinasi khusus kepada penduduk kawasan tersebut di Klinik Kesihatan Sungai Lembing.
Penghulu Mukim Hulu Kuantan merangkap penasihat jawatankuasa itu, Mohd Khairil Anuar Alwi berkata, inisiatif itu diambil bertujuan membantu penduduk terutama dalam kalangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima vaksin masing-masing.
Menurutnya, jawatankuasa itu dengan kerjasama Klinik Kesihatan Sungai Lembing menvediakan Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) di klinik tersebut khusus buat penduduk bermula ada Sabtu.
"Sebelum ini ada yang terpaksa ke PPV dI lokasi lain termasuk di sekitar bandar Kuantan yang jaraknya lebih 40 kilometer sehingga ada yang gagal berbuat demikian atas faktor pengangkutan dan sebagainya.
"Dengan kemudahan yang disediakan di klinik ini, ia banyak memudahkan masyarakat yang telah mendaftar untuk hadir menerima vaksin mengikut tarikh yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di Program Suntikan Vaksin khusus buat penduduk di Klinik Kesihatan Sungai Lembing di sini pada Sabtu.
Mohd Khairil Anuar berkata, rata-rata penduduk di kawasan itu terdiri daripada golongan warga emas dan ada antara mereka tinggal bersendirian.
"Sekiranya kita tidak membantu, golongan ini besar kemungkinan tercicir daripada menerima vaksin.
"Jawatankuasa yang dipengerusikan Pengerusi JKKK Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi ini dibantu pengerusi JKKK dari beberapa kampung sekitar termasuk Kampung Kuala Kenau, Kampung Orang Asli Sungai Mas, Kampung Jeram Takar, Kampung Sungai Rimau, Kampung Seberang dan Kampung Batu 6, Kolek," katanya.
Tambah beliau, bagi menjayakan program vaksinasi dalam kalangan penduduk, jawatankuasa tersebut juga mengambil inisiatif membantu mendaftarkan penduduk terlibat.
"Setakat ini, lebih 1,200 berjaya didaftarkan dan sebahagiannya hadir menerima suntikan hari ini.
"Kita juga mendapat kerjasama pengusaha pelancongan di kawasan ini bagi menyediakan enam kenderaan pacuan empat roda bagi mengambil dan menghantar penduduk yang menerima vaksin,"katanya.
Beliau berkata, bagi program pertama pada Sabtu dan Ahad ini, seramai 210 penerima menerima suntikan dan 480 penerima lagi pada hujung minggu depan.
"Keutamaan diberikan kepada golongan warga emas dan OKU pada minggu ini sebelum ia dibuka kepada penerima golongan lain pada program akan datang.
"Kira-kira 3,000 penduduk termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli layak menerima vaksin dan kita sasarkan 80 peratus daripada jumlah itu akan menerima vaksin masing-masing sebelum Oktober depan," katanya.
Menurutnya, inisiatif yang digerakan itu mendapat sambutan baik apabila rata-rata penerima yang djadualkan pada hari ini hadir ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing untuk menerima vaksin.
Sementara itu bagi pasangan suami isteri, Hassan Khamis, 83 dan Indon Taib, 68, mereka menyambut baik usaha jawatankuasa tersebut yang banyak membantu golongan warga emas untuk menerima vaksin.
Sebelum ini Hassan terpaksa ke PPV di Tanjung Lumpur untuk menerima suntikan dos pertama, namun untuk dos kedua dia hanya perlu hadir ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing sahaja pada tarikh yang telah ditetapkan.
Pasangan ini mengakui, sekiranya lokasi PPV jauh dari rumah ia akan menimbulkan banyak masalah kepada mereka.
"Kami memang hendak vaksin tapi kalau jauh agak bermasalah namun bila ada kemudahan disediakan di sini, kami senang dan amat berterima kasih kepada semua pihak terlibat.
Indon berkata, pada mulanya dia agak takut untuk menerima vaksin selepas pelbagai dakwaan didengar hingga ada yang mengatakan vaksin boleh menyebabkan kematian.
"Tapi saya sedar vaksin ini penting jadi semua dakwaan itu diabaikan dan hari ini saya sudah selesai menerima dos pertama,"katanya.
Bagi seorang pengusaha penginapan di Sungai Lebing, Lee Kong Seong, 54, sebagai seorang OKU dia lega apabila hanya perlu ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing untuk menerima suntikan.
Katanya, kemudahan yang disediakan banyak memudahkan golongan OKU sepertinya.
"Saya yang bergantung kepada kerusi roda terpaksa bergantung kepada isteri namun bila ada PPV di buka untuk penduduk di sini saya amat berterima kasih," katanya.