BIARPUN pernah menewaskan Wales dua kali pada saingan Liga Negara-Negara UEFA pada 2018, pengendali Denmark, Kasprer Hjulmand mahu skuad kendaliannya tidak mengambil mudah aksi berdepan skuad The Dragons itu pada kalah mati Euro 2020, awal pagi Ahad.
Hjumland berkata, dua kemenangan berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran dan sebaliknya skuad The Danish Dynamite perlu beraksi sebaik mungkin dalam usaha mencatatkan kemenangan pada perlawanan berkenaan.
"Ketika menewaskan Wales, mereka diberitakan masih dalam proses pembentukan pasukan, melakukan pertukaran pemain dan sebagainya.
"Sejak itu, mereka telah melalui tiga tahun yang hebat sehingga ke hari ini dan membuatkan kita tidak boleh lagi mengambil mudah aksi berdepan mereka,” katanya.
Denmark mengesahkan slot ke pusingan kalah mati setelah menewaskan Russia 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B setelah tewas 0-1 kepada Finland pada aksi pembukaan 12 Jun lalu dan 1-2 kepada Belgium pada 17 Jun.
Untuk rekod, Denmark turut muncul selaku pasukan yang paling mencuri perhatian pada Euro 2020 berikutan insiden kapten, Christian Eriksen yang rebah secara tiba-tiba pada aksi berdepan Finland akibat serangan jantung.
Sementara itu, pemain tengah Denmarak, Pierre-Emile Hojbjerg tidak bersetuju dengan dakwaan pemain Wales, Gareth Bale yang mendakwa pasukan berkenaan sebagai pasukan ‘underdog’ pada Euro 2020.
Katanya, kesebelasan Denmark diharap agar tidak terlalu memberikan perhatian terhadap dakwaan berkenaan dan terus memberikan aksi terbaik mereka bagi menjamin kejayaan pasukan.
"Sekiranya anda memahami apa itu bola sepak, anda akan tahu bahawa perlawanan ini adalah sangat penting dan perlu dimenangi untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Bagi saya, Bale adalah seorang pemain yang baik dan juga rakan sepasukan saya di Tottenham Hotspur. Saya juga sentiasa mahukan dia berjaya, tetapi bukan untuk perlawanan kali ini,” katanya.