SEMENYIH - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dinasihatkan peguamnya untuk saman Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan dakwaan Pas yang mengaitkan bahawa kononnya wujud dua parti komponen PH merancang menyingkirkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Anwar berkata, beliau secara peribadi tidak berniat untuk memanjangkan kes ini, memandangkan Hadi pernah menjadi sahabat baiknya suatu ketika dahulu.
"Saya nak nasihat ustaz Hadi usah main politik kalau ada bukti silakan, kalau tidak ini fitnah.
"Peguam saya suruh saman...setakat ini saya tidak minat. Saya bukan macam Pas dan Sarawak Report tarik balik (saman).
"Kalau saya saman saya punya prinsip 'membujur lalu melintang patah' oleh itu saya tidak mahu kerana dia pernah jadi sahabat baik... tidak maksud bergaduh cuma saya nak bagitau tak bolehlah, politik tak boleh macam itu...kamu berjubah atau serban tidak boleh menghalalkan cara," katanya dalam ceramah di Taman Seri Jenaris, di sini , hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Undi tak percaya: Tun M nak tengok Pas sokong atau tak
Pada 17 Februari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa terdapat dua parti dalam PH mungkin merancang untuk membelot terhadap Dr Mahathir.
Takiyuddin yang menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Perdana Menteri menjelaskan, persetujuan bertulis parti itu sebenarnya draf ikrar menyokong Dr Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya.
Bagaimanapun, dakwaan Pas itu dinafikan pemimpin-pemimpin PH antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Mohamad yang juga Presiden Amanah
ARTIKEL BERKAITAN: Komplot guling PM: Kalau tiada angin, tidak bergoyang pokok!
Mengulas lanjut, Anwar berkata Pas sepatutnya tidak mengamalkan sikap Machiavelli.
"Sikap Machiavelli inilah, tak ikut akhlak dan etika matlamat tak menghalalkan cara.
"Ini dasar dan akhlak Islam," katanya.