JENGKA - Jeritan jiran berjaya menyelamatkan seorang tukang rumah daripada menjadi korban dalam kebakaran di Felda Jengka 16 pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 1 tengah hari, rumah separuh kekal yang didiami seorang warga Indonesia itu musnah 100 peratus.
Didik Puttro, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di bawah rumah tersebut.
"Ketika sedang berehat, tiba-tiba saya terdengar jeritan jiran yang memberitahu ada api di rumah.
"Saya pun terus meluru dan melihat api bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke bahagian lain," katanya pada Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, walaupun barangan dan pakaian miliknya musnah, namun dia bersyukur terselamat dalam kejadian itu.
"Saya kini menumpang di rumah kawan dan berterima kasih kepada jiran serta rakan yang banyak membantu," katanya yang menyewa di rumah itu sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka, Penolong Penguasa Bomba, Raja Mohd Arif Raja Shamsudin berkata, seramai tujuh anggota dan seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, tiga dari BBP Jengka serta sembilan dari BBP Bukit Angin terlibat dalam operasi pemadaman di tempat kejadian.
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 12 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.