SHAH ALAM - Sekumpulan rakyat Malaysia terdiri daripada 47 individu pelbagai latar belakang tampil dalam satu kenyataan bersama bagi menggesa persidangan Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos ini.
Antara individu tersebut ialah Pensyarah Seni Bina Universiti UCSI, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi; bekas ahli Parlimen, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail; bekas wartawan, Mohsin Abdullah dan calon bebas bagi kerusi Parlimen Subang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Toh Sin Wah.
Mereka sebulat suara menolak cadangan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkaitan persidangan Parlimen dijangka diadakan pada akhir bulan Ogos atau awal September.
"Kami berpandangan bahawa cadangan kedua-dua Speaker ini bertentangan langsung dengan mesej Seri Paduka Baginda
"Tuanku memaklumkan pada bulan Februari bahawa Parlimen boleh diadakan semasa tempoh darurat yang memberi maksud sebelum 1 Ogos.
"Selanjutnya, Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan daripada Majlis Raja-Raja pada 16 Jun telah menyatakan bahawa Parlimen harus bersidang dengan segera,” kata mereka dalam kenyataan tersebut pada Sabtu.
Mereka juga kesal apabila Parlimen tidak dapat digunakan untuk meneliti perbelanjaan dan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah menjadikan negara ini di ambang kemuflisan serta ancaman serius bagi kehidupan rakyat.
"Banyak alasan dan kelewatan, buka Parlimen kita dengan tergesa-gesa sebelum berakhirnya darurat ini,” ujar mereka.
Pada 25 Jun lalu, Rais dan Azhar Azizan berkata, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021.
Menurut mereka, beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal dan perolehan bekalan perlu diperkemaskan terlebih dahulu untuk memastikan persidangan secara hibrid itu berjalan lancar.
Rais dan Azhar Azizan berkata, satu sidang khas Parlimen akan diadakan awal Ogos dengan andaian semua aspek perundangan mengenai persidangan alternatif berkenaan dapat diselesaikan pada akhir Julai sekiranya diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat.