SHAH ALAM - Rakyat kini sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penambahan beban hutang bukan satu jalan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit rakyat.
Sehubungan itu, beliau berkata, langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar dengannya beroperasi dalam tempoh PKP 3.0 adalah tidak masuk akal.
"Tindakan ini sangat tidak masuk akal. Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan. Di mana munasabahnya menggalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertanggungjawab?
"Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral.” katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Pada Rabu, KPKT memaklumkan hanya syarikat PPW berdaftar di bawahnya dan mendapat kelulusan menerusi Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dibenarkan beroperasi.
Menurut KPKT, bagi syarikat kredit komuniti di Sabah, Sarawak dan Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada pihak berkuasa seperti Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS), Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak (JKNS) dan Perbadanan Labuan (PL).
Kenyataan itu juga menyebut, kementerian selaku agensi yang mengawal selia aktiviti kredit komuniti telah mengambil beberapa langkah bagi mengemas kini semula prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor PPW untuk mengawal penularan wabak Covid-19.
Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau mencadangkan KPKT menggunakan wang simpanan kerajaan tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.
Jelas beliau, terdapat banyak wang simpanan yang besar diperoleh kerajaan tempatan.
"Tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan manusiawi pembayar cukainya dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.
"Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap. Mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi.
"Tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara, bukan menggalakkan rakyat berhutang," tegas beliau.