PONTIAN - Warga emas di sekitar Pekan Parit Sikom dan Kayu Ara Pasong di sini lega selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Komuniti.
Penerima vaksin, Omar Padio, 65, berkata, dia hanya berjalan kaki ke PPV Bergerak Komuniti Pekan Parit Sikom di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Mah yang terletak berdekatan dengan rumahnya.
"Sangat dekat dengan rumah, saya tidak perlu bersusah payah hendak ke bandar tambahan pula sekarang sedang Sekatan Pergerakan Penuh.
"Saya berpuas hati sebab tidak perlu tunggu lama, sukarelawan dan petugas kesihatan sangat mesra serta sentiasa membantu," katanya.
Che Tom Hamzah, 76, pula berkata, dia bersyukur kerana akhirnya menerima vaksin selepas dia tidak dapat menerima vaksin pada bulan Ramadan lalu disebabkan tidak sihat.
Menurutnya, dia sepatutnya datang bersama suaminya, Ahmad Hussin, 75, bagi menerima vaksin di PPV bergerak komuniti tetapi suaminya tidak berapa sihat dan hasrat tersebut ditangguhkan.
"Lega dan syukur sebab saya dapat vaksin di kampung sendiri tidak perlu pergi jauh. PPV bergerak komuniti ini sangat membantu golongan warga emas yang tinggal di kampung," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Pontian, Dr Surinah Asan berkata, PPV Bergerak Komuniti di Pekan Parit Sikom membantu usaha kerajaan mempercepatkan vaksinasi kepada penduduk luar bandar dan golongan warga emas.
Menurut beliau, dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) permohonan diterima seramai 250 orang tetapi Pejabat Kesihatan Negeri Johor hanya meluluskan untuk 100 orang penerima dan selebihnya akan diteruskan pada fasa berikutnya.
"Seramai 30 petugas dari Pejabat Kesihatan dan Pejabat Pergigian Daerah Pontian terlibat dengan PPV Bergerak Komuniti di Pekan Parit Sikom.
"Beberapa NGO turut membantu antaranya Prihatin Johor, Jauhar dan Badan Kebajikan Islam Orang Asli Johor," katanya," ketika ditemui di Dewan SJKC Nan Mah di sini pada Sabtu.
Dr Surinah berkata, lebih 20,000 penduduk di daerah ini telah menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi dos pertama dan kedua menerusi dua PPV di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Pontian dan Pekan Nanas.