Kupon diskaun menanti pengunjung pasar tani

Iklan
Mohd Sharif (dua, kiri) bersama ahli persatuan dan pengunjung.
DUNGUN - Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Persatuan Pasar Tani Daerah Dungun untuk menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus membantu usahawan tempatan menjana pendapatan.

Pengerusi Persatuan Pasar Tani Dungun, Mohd Sharif Muda berkata, selain melancarkan Kempen Pasar Tani Bersih, sebanyak 100 kupon bernilai RM2 diagihkan kepada pengunjung Pasar Tani Sura Jeti, di sini, untuk menarik lebih ramai pengunjung memandangkan pasar tani berkenaan masih baharu.

"Kita galakkan orang ramai berbelanja di pasar tani, sambil membeli dapat pula diskaun.

"Kita mahu pasar tani ini mendapat lebih hebahan dan lebih maju.

"Kupon ini juga diberikan sekurang-kurangnya sebulan sekali bergantung kepada bajet," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyahut seruan untuk menghidupkan amalan pasar tani bersih seperti disyor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) termasuk melancarkan kempen sifar rokok.

"Kita mahu pastikan pasar tani bersih dan sihat. Setiap gerai mestilah bersih, produk dijual, tapak dan persekitaran bersih.

"Kita juga mengenakan larangan merokok dan akan memberi nasihat serta amaran kepada pengunjung yang melanggar peraturan," katanya.

Katanya, pihak persatuan juga dalam usaha untuk mencapai tahap sebagai pasar tani berinformatif.

"Pelbagai program kita anjurkan termasuk mengadakan demonstrasi teknik semaian, dekorasi kek atau masakan dan pelbagai lagi.

"Kita juga mahu mencapai sebagai pasar tani mega yang mempunyai lebih 100 peniaga dan buat masa sekarang kita ada lebih kurang 50 tapak niaga," katanya.