SHAH ALAM - Gabungan Pendikir Lembah Klang (GPLK) komited mencapai matlamat mengadakan aktiviti seni muzik dikir barat itu pada setiap bulan bagi tahun ini.
Presidennya Asrulfaizal Kamaruzaman berkata, pada tahun lalu misi itu gagal dicapai ekoran kekangan masa serta komitmen di kalangan ahli GPLK itu sendiri.
Menurutnya, disebabkan itu, pada tahun ini GPLK serius untuk memastikan apa yang dirancang termasuk pertandingan tertutup antara ahli dan persembahan dikir barat dapat dilaksanakan pada setiap bulan sehingga hujung tahun ini.
"Aktiviti yang kita buat bukanlah bertujuan untuk melayakkan kita pergi ke mana-mana pertandingan di peringkat luar seterusnya memperoleh gelaran tertentu.
"Apa yang kita buat ini sekadar untuk suka-suka bagi menghiburkan penggemar seni muzik itu dan pada masa yang sama, dapat mengeratkan ukhwah sesama anak-anak Kelantan serta ahli GPLK sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, dalam persembahan yang diadakan di perkarangan Kumpulan Media Karangkraf bermula jam 9.30 malam tadi, GPLK menampilkan dua kumpulan pendikir iaitu GBK Anjung Bestari AU3 Keramat dan Suara Perantau, Kajang.
Dua kumpulan itu mempersembahkan dua lagu jogho (utama) dan lagu selingan membabitkan kira-kira 40 ahli.
GPLK mempunyai 10 kumpulan pendikir di bawah naungannya yang rata-ratanya terdiri daripada anak-anak Kelantan yang tinggal dan bekerja di Lembah Klang.