GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Misteri bilik bercahaya seakan-akan berlaku kebakaran di sebuah 'penthouse' di Jalan Bukit Gambir akhirnya terbongkar apabila pasukan bomba mendapati berlaku aktiviti pemujaan yang dilakukan di kediaman terbabit.
Kejadian berlaku pada Selasa lalu kira-kira jam 1.55 pagi bermula apabila pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kondominium mewah terbabit yang curiga dengan cahaya misteri dan disangkakan berlaku kebakaran.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba Jalan Perak bergegas ke lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Menurut kenyataan itu, ketika anggotanya sampai ke tingkat 31 bangunan terbabit mendapati tiada sebarang kebakaran yang berlaku.
Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, pemeriksaan bersama polis mendapati terdapat bau asap dari rumah tersebut dan bomba terpaksa membuka pintu dengan peralatan khas menyelamat.
"Sebaik pintu dibuka, terdapat seorang lelaki berumur 23 tahun yang memberi alasan hanya membakar colok dan tiada sebarang kebakaran berlaku," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kawasan rumah terbabit selamat daripada sebarang risiko kebakaran, pegawai bomba melakukan pemeriksaan di tingkat atas unit kediaman berkenaan sebelum menemui pelbagai peralatan untuk melakukan ritual pemujaan.
Turut dijumpai patung dan lilin serta beberapa gambar pasangan dipercayai bagi ritual.
Sebelum ini, sebuah laman sosial Facebook, MAMU JARUM berkongsi kisah misteri itu dengan mendakwa berlaku aktiviti pemujaan ilmu hitam dan santau.
Turut dipaparkan video dan gambar dipercayai dirakam dari unit berdekatan yang memaparkan tindakan seorang lelaki seolah-olah sedang melakukan pemujaan dengan cahaya api tular di media sosial pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian itu.