MIAMI - Punca sebenar yang menyebabkan sebahagian bangunan pangsapuri mewah yang runtuh di Surfside, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada awal pagi Khamis lalu masih mencetuskan tanda tanya.
Runtuhan struktur di tepi pantai Miami yang berlaku secara tiba-tiba sehingga meragut empat nyawa manakala 159 orang lagi masih dilaporkan hilang turut menyebabkan darurat diisytiharkan di Florida oleh Presiden Joe Biden.
Ketika kejadian itu, sejumlah rakyat asing antaranya ialah warga Uruguay, Argentina, Australia, Colombia, Venezuela, Brazil dan Itali turut berada dalam senarai orang hilang.
Selain itu, mereka yang dilaporkan hilang termasuk ahli keluarga Wanita Pertama Paraguay, Silvana Lopez Moreira iaitu isteri kepada Presiden Mario Abdo Benitez dan sepupu bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet.
Kebanyakan unit kediaman pangsapuri itu berharga dari AS$295,000 (RM1.2 juta) untuk satu bilik tidur iaitu harga yang disenaraikan pada Mac 2020.
Menurut rekod hartanah, harganya mencecah AS$980,000 (RM4.07 juta) untuk tahun ini bagi unit kediaman yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur.
Sebuah rumah emper pula dijual hampir AS$2.9 juta (RM4.99 juta).
Runtuhan itu turut mengejutkan seorang arkitek yang pernah mereka bentuk beberapa bangunan terkenal di Miami-Dade, termasuk Kelab Surf di Surfside, Kobi Karp berkata, beliau tidak pernah melihat keadaan runtuhan seperti itu.
Pangsapuri berusia 40 tahun dan setinggi 12 tingkat serta mempunyai 136 unit kediaman itu siap dibina pada tahun 1981.
Pada tahun 2015, seorang pemilik sebuah unit kediaman mengemukakan satu tuntutan undang-undang di Miami-Dade selepas mendakwa pihak pengurusan bangunan tersebut gagal membaiki rekahan di dinding luar pangsapuri.
Tuntutan undang-undang itu kemudian selesai apabila pihak pengurusan pangsapuri tersebut membayar kos pembaikan dinding tersebut.
Bagaimanapun, rekahan itu dipercayai tidak boleh menyebabkan bangunan berkenaan runtuh.
Berdasarkan teori dikemukakan seorang jurutera struktural, beliau menyatakan jika pangsapuri tersebut bergerak dan kemudiannya runtuh, ia sepatutnya mempunyai tanda-tanda rekahan pada dinding, siling dan lantai terlebih dahulu.
Namun, tiada rekahan seumpama itu berlaku malah pangsapuri itu juga dikatakan telah dibina di atas kawasan yang ditambak di atas ‘barrier island’ di pantai Miami.
Sebelum ini, para saintis iklim dan geologi telah beberapa kali memberi amaran bahawa pulau buatan seumpama itu tidak dibangunkan dengan sempurna kerana ia mempunyai campuran tanah yang tidak padat dan lumpur.
Profesor Madya Dr Shimon Wdosinski dari Jabatan Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Antarabangsa Florida di Miami pula pernah menyatakan bahawa data-data yang dikumpulkan pada tahun 1990-an mendapati kedudukan pangsapuri tersebut telah bergerak ke dalam bumi antara tahun 1993 dan 1999.
Wdosinski memberitahu portal berita NBC bahawa kawasan tempat pembinaan bangunan berkenaan adalah stabil sebelum ini.
Beliau berkata, bangunan itu tenggelam ke dalam bumi antara satu hingga tiga milimeter setahun.
Wdosinski memberitahu struktur asas bangunan tersebut yang bergerak ke dalam bumi mungkin menjadi penyebab pangsapuri tersebut runtuh.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang terselamat dalam runtuhan itu berkata bahawa dia pernah menyuarakan kebimbangan tentang projek pembinaan di kawasan berdekatan yang mungkin menjadi antara faktor menyebabkan pangsapuri tersebut runtuh.
Sebelum pangsapuri yang dikenali sebagai Camplain Towers South itu runtuh, kerja-kerja pembaikan dilaporkan sedang dilakukan di bangunan tersebut.
Ketika ini, banyak persoalan yang tidak terjawab dan kebanyakan penghuni menuntut jawapan telus.
Namun, siasatan bagi mengetahui punca sebenar bangunan tersebut runtuh hanya boleh dijalankan oleh pihak berkuasa AS selepas pasukan penyelamat selesai melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mungkin masih terselamat selepas terperangkap lebih 48 jam.