Persaingan AS dan China

Iklan

PADA 20 Jun, genap lima bulan Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Donald Trump. Semasa pentadbiran Trump, hubungan AS dan China merosot akibat perang perdagangan. Keadaan bertambah buruk apabila AS secara terbuka mengkritik China dalam isu demokrasi di Hong Kong dan hak asasi manusia di Xinjiang.

AS di bawah Trump, menganggap China sebagai pesaing strategik, malah ada penganalisis politik yang meramal jika persaingan AS-China berterusan, akan berlaku Perang Dingin 2.0. Ia menyebabkan negara-negara di Asia Pasifik khasnya di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand bimbang ekonomi mereka terjejas.

Iklan
Iklan

Oleh itu, berita kekalahan Trump telah membawa kelegaan seketika kepada ramai penggubal dasar. Mereka mengharapkan Biden akan menghentikan dasar permusuhan dengan China dan hubungan AS-China akan pulih.

Pada peringkat awal, penganalisis politik meramalkan Biden akan lebih bertolak-ansur dengan China kerana beliau sudah pun berkenalan dengan Presiden Xi Jinping dan pernah melawat Beijing beberapa kali ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden dalam pentadbiran Presiden Barak Obama.

Iklan

Persepsi itu telah mendorong ramai menyangka pentadbiran Biden akan mengikut dasar Obama yang mengutamakan dialog dengan memulihkan US-China Strategic and Economic Dialogue (S&ED) yang telah ditinggalkan semasa pentadbiran Trump.

Pada penghujung Januari 2021, Duta China ke AS, Cui Tiankai menegaskan China mahukan perdamaian bersama AS dan menyeru agar pentadbiran baharu di AS menyelesaikan perbezaan pendapat melalui dialog.

Iklan

Sebaliknya, apa yang diramal terbukti tidak tepat kerana setelah lebih 100 hari pentadbiran Biden, masih tiada tanda-tanda perubahan positif dalam hubungan AS-China. Malah, AS lebih lantang mengkritik China.

Pertembungan diplomasi yang serius antara AS dan China berlaku pada 18 hingga 19 Mac lalu ketika perbincangan dua hala di Alaska.

Delegasi AS telah mengutuk China dalam isu seperti layanan buruk terhadap penduduk Uyghur di Xinjiang, sekatan kebebasan di Hong Kong dan dakwaan serangan siber ke atas kepentingan AS, manakala perwakilan China telah membalas kutukan AS bahawa AS tidak layak untuk berhujah sedemikian kepada China, dan AS bukan teladan kepada mana-mana negara.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dasar Biden terhadap China adalah kesinambungan kepada dasar Trump.

Dari segi prinsip, tiada perbezaan antara kedua-dua pentadbiran, namun dari segi pelaksanaan dan strategi, wujud perbezaan antara Biden dan Trump.

Biden lebih mementingkan kerjasama dengan negara-negara sekutu seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan India untuk mengimbangi China, berbanding Trump yang bertindak secara unilateral. Trump kurang yakin dengan kebolehan negara-negara sekutu dan pemimpin negara lain juga tidak gemar bekerjasama dengan Trump yang angkuh.

AS sering memberi alasan bahawa pertembungan dengan China disebabkan faktor perbezaan nilai iaitu China mengamalkan sistem komunis dan autokratik, manakala AS berpaksikan kapitalisme serta demokrasi.

Persoalannya, mengapa pertembungan itu hanya berlaku sekarang, sedangkan China sudah pun mengamalkan sistem komunisme dan autokratik sejak normalisasi hubungan antara AS-China pada 1979.

Sebenarnya, perbezaan nilai hanya retorik sahaja kerana hakikatnya adalah persaingan kuasa antara kedua-dua hagemoni. Walaupun AS dan China masih bersaing dalam isu politik serta ekonomi, namun mereka tetap bekerjasama dalam bidang perubahan iklim.

Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali tidak harus terheret dalam percaturan politik AS dan China. Pada masa yang sama, Malaysia harus bijak menggunakan peluang yang ada untuk manfaat kepentingan negara.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya