MINGGU lalu, saya menulis mengenai langkah-langkah proaktif yang perlu diambil badan eksekutif dalam memartabatkan mahkamah syariah di Malaysia.
Minggu ini saya terpanggil untuk menukilkan mengenai kebebasan institusi kehakiman di Malaysia, khususnya berkaitan mahkamah sivil susulan terdapat laporan polis dibuat oleh pihak Ketua Hakim Negara berkenaan pesanan ringkas yang seolah-olah menyatakan penghakiman mahkamah ‘boleh diuruskan’ oleh pihak tertentu dalam sesuatu kes. Ia dalam siasatan pihak polis dan saya tidak berhasrat mengulas mengenai siasatan tersebut.
Apa yang saya ingin jelaskan adalah kebebasan kehakiman yang menjadi paksi kepada keadilan dan kesaksamaan. Seorang hakim hendaklah adil dan saksama membuat sebarang penghakiman. Hakim tidak boleh dipengaruhi oleh pihak eksekutif atau badan dalam membuat penghakiman.
Malah, hakim juga tidak boleh dipengaruhi oleh peguam, selain penghujahan dan bukti dikemukakan oleh peguam. Hubungan dengan peguam hanyalah di luar mahkamah, bukan di dalam mahkamah, itu pun sekiranya hakim berasa tidak selesa dengan seseorang peguam kerana keakrabannya, hakim tersebut boleh menarik diri daripada menghakimi sesuatu kes.
Sebagai pengamal undang-undang, saya melihat kebebasan kehakiman di mahkamah semakin hari semakin menyerlah. Bukan sahaja badan kehakiman bebas daripada institusi lain tetapi di dalam mahkamah itu sendiri terzahir kebebasan tersebut. Ia sejajar dengan ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada April lalu yang dilaporkan berkata, seseorang hakim mesti menghakimi dengan bebas dan saksama tanpa terikat walaupun dengan orang atasannya.
Beliau menegaskan setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran.
Tengku Maimun berkata, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.
Justeru, menurutnya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar serta melayan mereka secara adil.
Bukti zahir yang dapat kita lihat di mana dahulunya jarang berlaku ialah terdapat beberapa penghakiman majoriti di Mahkamah Persekutuan – Ketua Hakim Negara sendiri berada dalam golongan penghakiman minoriti.
Jelaslah, penghakiman Mahkamah Persekutuan tidak semestinya akan menuruti apa yang dihakimi oleh Ketua Hakim Negara atau pemegang jawatan penting lain dalam kehakiman negara.
Penting saya nyatakan – sama ada sesuatu penghakiman itu di pihak majoriti atau minoriti, ia sangat bermanfaat kepada para peguam dan badan kehakiman pada masa akan datang untuk meneliti penghakiman tersebut, dan mungkin akan ada dapatan dan penghakiman baharu. Yang penting juga adalah taakulan sesuatu penghakiman itu berdasarkan pandangan perundangan hakim dan boleh dirujuk pada masa akan datang.
Bagi seorang peguam, adalah lumrah mendapat kemenangan atau menghadapi kekalahan di mahkamah. Adakala saya sendiri tidak bersetuju dengan penghakiman dibuat oleh mahkamah tetapi kita perlu akur, seorang peguam hanya menghujahkan kes anak guamnya di mahkamah. Mahkamahlah yang membuat pertimbangan berdasarkan prinsip perundangan.
Menghormati keputusan mahkamah bukan sahaja perlu dilakukan oleh mana-mana pihak tetapi ia adalah kewajipan. Undang-undang sendiri memberi ruang kepada mana-mana pihak terkilan untuk mengkaji semua penghakiman mengikut saluran undang-undang.
Berbalik kepada dakwaan penghakiman yang ‘boleh diuruskan’, biarlah ia disiasat dengan adil oleh pihak berkuasa. Sama ada ia benar atau tidak, kita perlu menunggu siasatan disempurnakan. Sama ada ia benar atau tidak, ia merupakan suatu calar di badan kehakiman kita. Namun, badan kehakiman perlu terus menzahirkan prinsip kebebasan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mahu memusnahkan prinsip murni tersebut.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.