SHAH ALAM - Syarikat kredit berlesen yang beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilihat mampu membantu rakyat terutama peniaga kecil dari segi kewangan.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, peniaga kecil tersebut boleh melakukan pinjaman pada kadar segera untuk menjalankan perniagaan seperti biasa.
Menurutnya, dengan pembukaan syarikat kredit berlesen yang sah turut membantu menjana ekonomi.
"Kesan positif selepas kerajaan membenarkan syarikat kredit berlesen beroperasi sekurang-kurangnya ia dapat membantu peniaga kecil.
"Syarikat-syarikat berlesen ini mungkin boleh membantu walaupun ia tidak menyelesaikan masalah. Ini kerana kita nampak sekarang ini, kerajaan tidak mampu menolong rakyat lagi,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George pula berkata, pembukaan syarikat pinjaman itu merupakan kaedah yang tidak produktif untuk membantu rakyat.
Jelasnya, ia akan memberi kesan yang lebih teruk terhadap peminjam pada masa akan datang.
"Covid-19 ini sudah dua tahun, kita dapati ramai yang hilang kerja, tiada pendapatan, orang yang kerja sendiri, berniaga warung semua jadi mangsa.
"Mereka tiada simpanan lagi. Kalau ada pun untuk sara hidup tiga bulan.
"Dalam keadaan sekarang, siapa yang yakin boleh bayar balik? Kita tidak tahu apa akan jadi esok dan kemudian hari,” ujarnya.
Jacob berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dilakukan bagi mengendalikan perkara itu.
Jelasnya, ia agar tidak mendatangkan lebih banyak masalah kepada peminjam.
"Kita minta supaya ada satu derma istimewa untuk golongan sasaran yang dijaga oleh pasukan petugas daripada bukan kerajaan.
"Usaha ini dilakukan supaya kita dapat memantau golongan sasaran yang dapat duit tidak disalah guna oleh golongan politik dan lain lain,” kata Jacob.
ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa berhutang demi sesuap nasi
Jiwa tertekan, rakyat buntu cari wang
Pinjaman berlesen tambah masalah rakyat