PENYANDANG juara, Portugal mula merasai keyakinan tinggi pada tahap optimum menjelang pertemuan menentang Belgium pada Pusingan 16 Terbaik Euro 2020 selepas lolos mengharungi saingan getir kumpulan maut.
Pengendali Portugal, Fernando Santos berkata, tekanan tinggi amat dirasai dalam kalangan setiap pemain termasuk Cristiano Ronaldo semasa fasa kumpulan F.
Malah menurut Santos, kekalahan kepada 2-4 kepada gergasi Jerman adalah merupakan pengalaman berguna untuk pasukan itu membentuk kemalangan dalam permainan.
"Sejujurnya, kemenangan tiga gol ke atas Hungary lenyap begitu sahaja selepas kami dikejutkan kekalahan 2-4 kepada Jerman pada perlawanan kedua.
"Namun pengalaman selepas kekalahan kepada Jerman mengembalikan semangat untuk kami bangkit mengikat Perancis 2-2 pada aksi terakhir kumpulan.
"Kami kuat dan konsisten, malah pemain saling membantu, kami memiliki penguasaan permainan, kami menyerang dengan baik dan bertambah baik sejak perlawanan menentang Jerman,” katanya.
Anak buah Santos bakal menentang Belgium kendalian Roberto Martinez yang tampak selesa dengan status juara kumpulan untuk mara ke saingan kalah mati.
Tegas Santos, Portugal kini sudah bersedia menentang semua pasukan hebat dunia selepas melalui fasa penuh cabaran sebelum ini.
"Kami telah berjaya melepasi peringkat melawan pasukan terbaik. Sama ada kita percaya atau tidak kerana kita dapat mengalahkan sesiapa dan saya akan terus mengatakannya - tidak ada pasukan yang menyangka mereka akan bersenang-senang menentang Portugal,” kata Santos.