Jumlah pesanan Hoolah melonjak 600 peratus dalam 12 bulan

Iklan
Penyedia penyelesaian ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL), hoolah, mencatatkan lonjakan pertumbuhan 600 peratus dari segi jumlah pesanan bagi tempoh Mei 2020 hingga Mei 2021.

KUALA LUMPUR - Penyedia penyelesaian ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL), hoolah, mencatatkan lonjakan pertumbuhan 600 peratus dari segi jumlah pesanan bagi tempoh Mei 2020 hingga Mei 2021.

Pengurus Besar, Jason Wong berkata, peningkatan amat ketara itu merupakan bukti bagi permintaan pengguna yang memberangsangkan terhadap perkhidmatan BNPL bagi semua kategori, serta jumlah peniaga mewah dan tempatan yang menjalinkan kerjasama dengan pihaknya.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lonjakan angka itu juga menunjukkan hoolah, yang berpangkalan di Singapura, sedang memperkasa pengguna dalam menguruskan aliran tunai mereka memandangkan orang ramai kini lebih mementingkan harga di samping menekankan kepentingan mengurangkan aliran tunai peribadi semasa pandemik.

"Menerusi BNPL seperti hoolah, pengguna boleh menguruskan perbelanjaan bulanan mereka dan memaksimumkan aliran tunai peribadi dengan membayar hanya satu pertiga daripada pendahuluan pembelian mereka.

Iklan

"Platform BNPL menyediakan penyelesaian lebih fleksibel yang membolehkan pengguna mengasingkan pembelian mereka kepada tiga pembayaran balik bulanan tanpa faedah, menggunakan instrumen bayaran kredit atau debit sedia ada dari mana-mana institusi kewangan tanpa kos tambahan dan fi terselindung,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, semasa pandemik Covid-19 mula melanda tahun lepas, hoolah mendapati keutamaan pengguna beralih kepada penggunaan kad debit berbanding dengan kad kredit bagi pembelian.

Iklan

75 peratus transaksi hoolah dilakukan menerusi kad debit pada Mac 2021 berbanding dengan 55 peratus pada Januari 2020, katanya.

Seiring dengan cogan kata ‘Responsible Affordability’, Jason berkata, hoolah membolehkan pelanggan membuat pelaburan ke dalam produk berkualiti dan menjalani gaya hidup atau aspirasi yang mereka inginkan namun pada masa sama memastikan mereka tidak terperangkap dalam hutang.

"Ini merupakan usaha untuk membolehkan pelanggan mengawal perbelanjaan mereka daripada berbelanja secara berlebihan.

"Ada keadaan yang membuatkan kami menolak transaksi apabila kami berpendapat orang itu bergerak pada hala tuju yang salah,” katanya.

Beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan yang bertanggungjawab, hoolah memastikan pengguna diberi literasi kewangan peribadi atau celik kewangan serta kesedaran mengenai pengurusan wang.

"Kami membangunkan had pesanan disuaikan untuk pelanggan yang bertujuan melindungi mereka, serta perniaga dan perniagaan, bagi memastikan pengguna tidak menggunakan platform itu secara keterlaluan.

"Apabila mencecah had itu, mereka perlu membayar ansuran yang belum dijelaskan sebelum mereka boleh menggunakan hoolah untuk membuat pesanan baharu,” katanya.

Dari segi perniagaan, Jason berkata, rakan peniaga hoolah mempertingkatkan perniagaan masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, dengan mencatatkan pertambahan pertukaran dan saiz bakul sebanyak 20 hingga 40 peratus.

Beliau berkata, perkhidmatan BNPL semakin popular di Asia Pasifik dengan Australia dan Eropah Utara merupakan negara terawal yang menggunakannya.

Kini, hoolah berusaha untuk berkembang di pasaran Asia, manakala operasi di Singapura, Malaysia dan Hong Kong merekodkan aliran meningkat, katanya.

Antara rakan peniaga hoolah ialah peruncit barangan sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd yang menjelaskan berasaskan bulan ke bulan, penjualan menerusi e-dagangnya menunjukkan trajektori meningkat, terutama bagi jersi bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla berkata, pihaknya mencatatkan peningkatan pembelian yang dilakukan dengan hoolah di laman webnya, dengan kira-kira 15 peratus transaksi pada bulan ini dilakukan melalui penyedia BNPL itu.

"Memandangkan pandemik masih berterusan, ramai pelanggan kami telah beralih kepada pendekatan jimat kos dan kemampuan.

"Dari sudut inilah hoolah membantu Al-Ikhsan dalam menyediakan pilihan pembayaran alternatif untuk pelanggan kami, dengan kemudahan tambahan BNPL bagi memperoleh akses kepada produk kami,” katanya.

Beliau berkata, pelan bayaran ansuran tiga bulan dan kadar sifar faedah telah membantu pelanggan Al-Ikhsan menikmati kaedah pembayaran lebih fleksibel dan mudah. - Bernama